Lengkapkan pengetahuan anggota SPSS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 61 orang anggota Setia Protective Security Services (SPSS) telah menghadiri Taklimat Keselamatan Kebakaran, Pengosongan Bangunan dan Tunjuk Ajar Tatacara Mengendalikan Alat-alat Pemadam Api dengan Betul yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) pada 18 November lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, menyatakan bahawa para peserta taklimat diterapkan bagi kesiapsiagaan mereka dalam menjalankan tugas selepas menamatkan latihan dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran di samping memupuk rasa bertanggungjawab serta mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan kebakaran.

Sebagai salah satu badan korporat di Negara Brunei Darussalam, latihan kebakaran dan pengosongan bangunan akan dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan keselamatan awam.

Ia juga salah satu aktiviti bagi pihak SPSS untuk mengesahkan keberkesanan prosedur yang efektif dan bersistematik bagi membolehkan interaksi, kerjasama dan menguatkan perhubungan di antara JBP serta pihak Syarikat SPSS.

JBP menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api khususnya.

JBP juga menyarankan orang ramai bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka boleh menghubungi talian kecemasan 995 serta memberikan maklumat yang tepat.

Anggota SPSS diberikan tunjuk cara menggunakan selimut api dengan cara yang betul. – Gambar serahan JBP