Lengkapkan warga emas dengan kemahiran digital

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) buat pertama kalinya telah menganjurkan Program Latihan Kemahiran Digital yang direka khas bagi warga emas.

Seramai 17 orang warga emas telah menyertai program tiga hari berkenaan, 8 hingga 10 Oktober, yang berlangsung di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AITI, program itu bertujuan untuk membantu warga emas menjadi celik digital supaya mereka mendapat manfaat daripada pelbagai aktiviti yang ditawarkan oleh teknologi.

Program tersebut telah dikendalikan dengan kerjasama daripada sektor kerajaan dan swasta dengan pembentangan dan demonstrasi praktikal oleh pelatih dan pemudah cara dari Jabatan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) serta perwakilan daripada syarikat-syarikat tempatan.

Program meliputi pelbagai topik seperti kemahiran asas ICT, keselamatan dan sekuriti dalam talian, pengenalan kepada dan peluang-peluang dalam e-perdagangan, aplikasi-aplikasi mudah alih yang berguna, membeli-belah dalam talian serta perbankan dalam talian.

Latihan telah diakhiri dengan majlis penyampaian sijil, kelmarin, di mana hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Berakas B, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Kenyataan menyatakan bahawa mereka akan menganjurkan program-program latihan serupa bagi kumpulan warga emas dari mukim-mukim dan daerah lain dalam bulan-bulan akan datang.

Para peserta mempelajari kemahiran asas ICT seperti penggunaan Microsoft Word dan Excel.