TIDAK dinafikan ramai yang keliru di antara lengkuas dengan halia dan kunyit.
Biasanya, lengkuas sentiasa digunakan dalam masakan untuk menambah aroma dan rasa.
Namun begitu, penggunaan lengkuas atau nama saintifiknya Alpinia galangal adalah agak meluas.
Nama lain bagi lengkuas adalah galangal (Inggeris) khalanjan (Arab, kaoliang-chiang (Cina) tha (Thai) dan barakalinjan (India).
Pokok lengkuas terdiri daripada jenis besar dan kecil. Lengkuas besar (greater galangal) dikatakan berasal dari Jawa dan digunakan dengan meluas di Malaysia dan Indonesia.
Manakala lengkuas kecil (lesser galangal) pula dikatakan berasal dari China.
Ia juga turut tumbuh di India dan seluruh Asia Tenggara.
Kenali lengkuas
Herba ini hidup berumpun dan berizom setinggi dua meter. Semua bahagian herba ini terutama rizomnya beraroma. Rizom lengkuas besar dan tebal, berisi serta berbentuk silinder dan bercabang-cabang.
Bahagian luar rizom berwarna coklat agak kemerahan atau kuning kehijauan yang pucat. Manakala bahagian isi dalamnya pula berwarna putih.
Daun lengkuas berwarna hijau, bertangkai pendek dan tersusun berselang. Bentuk daun memanjang dan hujungnya meruncing.
Pelepah daun beralur dan berwarna hijau. Bunga lengkuas merupakan bunga majmuk yang berbentuk loceng, berbau harum dan berwarna putih kehijauan atau putih kekuningan.
Rizom lengkuas dikatakan memiliki sifat-sifat antibakteria dan perangsang pencernaan. Lengkuas juga merupakan sumber serat, besi, sodium, vitamin-vitamin A dan C serta mengandungi fitonutrien dan flavonoid seperti beta Sitosterol, Galangin, Emodin dan Quercetin.
Menjadi ramuan perubatan
Selain digunakan dalam masakan, lengkuas sebenarnya mampu untuk dijadikan sebagai ramuan di dalam perubatan tradisional bagi merawat pelbagai masalah kesihatan yang dialami oleh manusia.
Perubatan Cina dikatakan menggunakan lengkuas dalam formula untuk ‘limpa’ bagi merawat masalah-masalah pencernaan dan kesihatan yang berkaitan dengan kekurangan elemen bumi.
Di India pula, lengkuas dikatakan digunakan sebagai pewangi tubuh, ketiak dan juga untuk menghilangkan masalah mulut berbau busuk atau halitosis.
Dikatakan juga selama berkurun lamanya lengkuas telah digunakan sebagai afrodisiak di Eropah dan Asia.
Air rebusan lengkuas dikatakan mampu untuk dijadikan sebagai ramuan dalam perubatan bagi melegakan masalah-masalah seperti kembung, dispepsia (pencernaan yang terganggu), muntah-muntah dan perut yang mengembung.
Lengkuas juga dikatakan mampu untuk digunakan bagi merawat artritis, ulser dan keradangan perut, memperbaiki pengedaran darah pada tangan dan kaki, merawat cirit-birit dan melindungi tubuh daripada risiko-risiko kanser tertentu.


Malah lengkuas juga memiliki banyak agen-agen antoksidan yang berkuasa dan berpotensi untuk melindungi tubuh daripada kerosakan yang disebabkan oleh toksin dan radikal-radikal bebas.
Kebaikan lengkuas pada kulit
Lengkuas banyak digunakan dalam penjagaan kulit. Jus lengkuas dikatakan boleh disapu pada kulit untuk merawat masalah kulit. Ia mengandungi 40 jenis antioksidan yang boleh membantu dalam melindungi kulit terhadap penuaan kulit.
Herba ini dikatakan mampu untuk membuang toksin daripada tubuh dan memperbaiki aliran darah. Ia melepaskan zat tambahan pada tisu kulit.
Antioksidan yang terdapat dalam lengkuas dikatakan mampu untuk mencegah radikal bebas daripada merosakkan kulit sekali gus mengekalkan kemudaan pada kulit.
Apabila jus lengkuas ini disapu pada kulit terbakar, ia mampu untuk melegakan rasa sakit serta menyembuhkan kulit yang terbakar.
Anda juga boleh menggosokkan hirisan lengkuas segar pada kulit lebih kurang dua hingga tiga kali setiap hari bagi mengurangkan parut.
Lengkuas juga merupakan antiseptik dan pencuci hebat yang boleh membantu untuk memastikan kulit bersih dan halus tanpa sebarang noda.
Ia juga boleh digunakan sebagai penentang semula jadi terhadap akne. Apabila ia disapu pada akne, ia mengurangkan pembentukan dan pemecahan akne melalui cara membersihkan bakteria daripada kulit.
Kebaikan lengkuas untuk rambut
Perubatan Ayurveda telah menggunakan lengkuas dalam rawatan rambut dan kulit kepala. Jika minyak ekstrak lengkuas disapu pada kulit kepala, ia dikatakan mampu untuk meningkatkan peredaran darah dan merangsang pertumbuhan rambut.
Jika anda mengalami masalah rambut rapuh dan kering, gunakan minyak lengkuas kerana ia mengandungi zink, vitamin dan fosforus yang diperlukan bagi memastikan rambut sihat bersinar.