Oleh Nurdiyanah R. & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Melihat kepada lengkung epidemik (epidemic curve) COVID-19 terkini di Negara Brunei Darussalam, effective reproduction number menunjukkan penurunan dan pada masa ini berada pada tahap 0.95.
R(t) di bawah tahap 1 menandakan bahawa sesuatu wabak itu sedang berkurangan, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengenai lengkung epidemik COVID terkini di negara ini bagi menunjukkan perkembangan jumlah kes yang dikesan setakat ini, semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, jumlah kes dalam gelombang ketiga telah memuncak sekitar 4 Mac 2022 dan pada masa ini, jumlah kes harian telah menunjukkan penurunan.
Meski pun berlakunya penurunan, Yang Berhormat Dato terus mengingatkan orang ramai untuk tidak lalai dan sentiasa menekankan segala prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.
“Apa yang penting di sini ialah kebijaksanaan kita selaku masyarakat dan kerjasama bersama untuk memastikan segala SOP dijalankan secara berterusan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Begitu juga bagi mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksinasi dos penggalak disarankan berbuat segera dan sebagainya,” tekannya lanjut.