Lengkungan jangkitan COVID-19 stabil

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Setakat 12 Oktober, sebanyak 9,132 kes telah dikesan sejak gelombang kedua penularan COVID-19 bermula di negara ini pada 6 Ogos lalu, di mana 9,082 (99.5 peratus) adalah kes penularan tempatan dengan 50 kes import.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dengan merujuk kepada epidemic curve yang dikongsikan berkata, walaupun gelombang kedua tidak menunjukkan penurunan, akan tetapi ia adalah stabil dan tidak menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, epidemic curve (gambar) bagi gelombang kedua berkenaan adalah berdasarkan tarikh kes menjalani ujian swab.

“Graf ini juga menunjukkan doubling time iaitu jangka masa bagi jumlah kes bertambah dua kali ganda ialah 28.8 hari, berbanding dengan tiga ke empat hari semasa gelombang kedua mula-mula berlaku,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau, dapatan-dapatan tersebut adalah sejajar dengan graf pada Slaid 2 yang menunjukkan reproduction number bagi gelombang kedua yang mana basic reproduction number (R-naught) iaitu reproduction number semasa gelombang kedua mula-mula berlaku ialah pada tahap 5.

“Ini bermakna pada ketika itu, satu kes positif telah menyebabkan lima kes baharu. Pada ketika ini, effective reproduction number yakni R(t) iaitu reproduction number pada masa ini adalah di sekitar tahap 1 yang bermakna satu kes positif telah menyebabkan satu kes baharu. R(t) pada tahap 1 juga menandakan keadaan jangkitan yang stabil,” tambahnya.
Yang Berhormat Dato seterusnya menyentuh mengenai Operasi Pulih yang telah dijalankan sejak 4 Oktober lalu hingga sekarang, di mana sebanyak 1,756 kes telah dikesan dalam masa tempoh itu dengan 61 peratus daripadanya adalah kes-kes yang dikaitkan dengan tempat kerja atau rumah pekerja yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat.

“Hanya 9 peratus sahaja dikaitkan dengan household cases atau kes-kes yang
tinggal sekeluarga di rumah-rumah persendirian,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah stabil.

Beliau menjelaskan, 71 peratus kes yang dirawat dalam kategori 4 dan 5 pada masa ini adalah mereka yang belum menerima vaksin COVID-19.

Mengenai Dasar Pengasingan Diri di Rumah yang telah dilaksanakan sejak 8 Oktober 2021 pula, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia telah berjaya mengurangkan tekanan terhadap kadar penggunaan katil atau bed occupancy rate di pusat-pusat pengasingan.

“Daripada kadar pengisian sebanyak 82 peratus, kadar tersebut telah menurun kepada 78.7 peratus,” jelasnya.

Purata mingguan bagi kes-kes baharu setiap hari juga telah menurun daripada 183 kes baharu sehari kepada 148 kes sehari.

Mengulas mengenai program vaksinasi kebangsaan, beliau berkata, kadar vaksinasi di negara ini telah meningkat sebagaimana jangkaan dan “Insya-Allah, kita akan berjaya mencapai sasaran 80 peratus keseluruhan penduduk menerima vaksinasi sebagaimana yang dijangkakan,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Walau bagaimanapun, menurutnya, peningkatan kadar vaksinasi adalah sangat perlahan bagi mereka yang berumur 80 tahun ke atas.