LENOVO telah menambah dua model baru dalam keluarga Moto dengan melancarkan Moto G5S (gambar bawah) dan Moto G5S Plus (gambar atas) yang mana huruf ‘S’ pada namanya bermaksud edisi khas.
Syarikat itu berkata, kedua-dua telefon pintar ini menawarkan beberapa penambahbaikan daripada model sebelumnya iaitu Moto G5 dan Moto G5 Plus.
Tarikan utama Moto baru ini terletak pada kameranya. Moto G5S menonjolkan sensor belakang 16MP dengan PDAF dan kamera depan 5MP dengan lensa sudut luas dan sokongan denyaran LED.
Moto G5S plus pula didatangkan dengan tetapan dua kamera di belakang, di samping dua sensor 13MP dan kamera 8MP di depan dengan lensa sudut luas dan sokongan denyaran LED. Satu lagi tarikannya adalah rekaan unibody semua metal.
Bagi spesifikasinya, Moto G5S dilengkapi terus dengan Android 7.01 Nougat dan menonjolkan paparan HD-penuh (1080×1920 piksel) 5.2 inci. Ia dikuasakan dengan SoC Qualcomm Snapdragon 430 lapan teras berkelajuan sehingga 1.4GHz dan dipadankan dengan RAM 3GB.
Model ini didatangkan dengan storan dalaman 32GB, yang boleh ditambah menerusi kad mikroSD (sehingga 128GB).
Pilihan sambungannya termasuk 4G LTE, Mikro-USB, Bluetooth 4.2, GPS, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n dan jek fon kepala 3.5mm. Ia disokong dengan bateri 3000mAh dan didatangkan dengan ciri TurboPower yang memberikan kuasa sehingga lima jam dengan hanya 15 minit pengecasan, menurut syarikat itu.
Moto G5S dilengkapi pengimbas cap jari yang terletak pada punat utama depan. Sensor-sensornya pula termasuk sensor kedekatan, akselerometer, giroskop dan sensor cahaya ambien.
Sementara itu, Moto G5S Plus juga didatangkan terus dengan Android 7.1 Nougat tetapi dengan paparan HD-penuh (1080×1920 piksel) lebih besar pada saiz 5.5 inci. Ia dikuasakan dengan SoC Qualcomm Snapdragon 625 lapan teras berkelajuan sehingga 2.0GHz.
Moto G5S Plus akan terdapat dalam dua pilihan RAM/storan iaitu RAM 3GB/storan 32GB dan RAM 4GB/storan 64GB. Storan dalamannya boleh ditambah sehingga 128GB menerusi kad mikroSD.
Dari segi sambungannya, Moto G5S Plus menawarkan pilihan termasuk 4G LTE, Mikro-USB, Bluetooth 4.1, GPS, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n dan jek fon kepala 3.5mm. Di sebalik nama ‘Plus’, varian besar ini disokong dengan bateri 3000mAh seperti varian biasa.
Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa bahawa ciri TurboPower menawarkan kuasa enam jam dengan hanya 15 minit pengecasan pada Moto G5S Plus.
Selain itu, Moto G5S Plus juga akan didatangkan dengan pengimbas cap jari yang terletak pada punat depan.
Moto G5S akan tersedia dengan konfigurasi dua SIM di pasaran tertentu tetapi Moto G5S Plus akan tersedia dengan konfigurasi satu SIM, menurut syarikat itu.