TIKHT, MAGHRIBI – Ia adalah kerja yang rumit bagi anggota mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mayat seorang wanita daripada runtuhan di sebuah perkampungan yang tidak lagi wujud selepas kejadian gempa bumi paling dahsyat di Maghribi sejak lebih enam dekad.
Tunang kepada mangsa, Omar Ait Mbarek, 25 tahun, menyaksikan kerja-kerja menggali pada Ahad dengan mata merah yang digenangi air mata hanya beberapa kilometer dari pusat gempa di Pergunungan Atlas.
Dia sedang berbual dengan tunangnya menerusi telefon apabila gegaran bermula lewat Jumaat dan dia terdengar peralatan dapur terhempas ke lantai sebelum talian terputus. Dia tahu tunangnya sudah tiada.
“Apa yang awda mahu saya katakan? Saya cedera,” beritahunya kepada AFP selepas Mina Ait Bihi, dibawa pergi dalam selimut ke tanah perkuburan sementara yang telah menempatkan 68 orang lain.
Kaum lelaki yang telah menggunakan tangan mereka dengan berhati-hati untuk mencedok kotoran yang melumurinya juga menemui telefonnya dan menyerahkannya kepada lelaki yang berduka itu.
Di sekeliling perkampungan Tikht, yang sebelum ini menempatkan sekurang-kurangnya 100 keluarga, merupakan pemandangan yang bertaburan dengan pokok kayu, ketulan batu serta pinggan pecah, kasut dan permaidani bercorak geometri.
“Hidup sudah berakhir di sini,” kata Mohssin Aksum, 33, yang mempunyai keluarga yang tinggal di penempatan kecil itu. “Kampung sudah lenyap.”
Rumah yang dibina secara tradisional
Seperti kebanyakan perkampungan yang paling teruk dilanda bencana, ia adalah tempat luar bandar yang kecil dengan sejumlah besar bangunan yang dibina secara tradisional dengan campuran batu, kayu dan mortar yang terdiri daripada lumpur.
Berpuluh-puluh penduduk, saudara mara dan tentera yang berkabung berkumpul di runtuhan itu. Beberapa orang berkata mereka tidak dapat mengingati sebarang gempa bumi sebelum ini di kawasan itu.
“Ia bukanlah sesuatu yang difikirkan penduduk ketika membina rumah mereka,” kata pelajar berusia 23 tahun, Abdelrahman Edjal, yang kehilangan sebahagian besar keluarganya dalam bencana itu.
Tetapi kualiti bahan binaan tidak diutamakan dalam fikirannya ketika dia duduk di atas batu di antara runtuhan di bawah langit biru dan dikelilingi oleh gunung.
Dia telah keluar berjalan-jalan selepas makan malam apabila gempa bermula, dan melihat orang ramai cuba melarikan diri dari rumah mereka yang roboh.
Dia menarik keluar bapanya sendiri dari runtuhan rumah keluarga, namun kecederaannya terlalu serius. Dia meninggal dunia dikelilingi anaknya yang berdekatan.
Batang-batang keluli berpintal menjulur keluar dari runtuhan di Tikht, jelas sekali beberapa teknik bangunan yang lebih terkini membentuk sebahagian daripada struktur tempatan.
Kehidupan harian sudah pun sukar di kawasan itu, yang mengambil masa kira-kira dua jam pemanduan daripada pekerjaan yang boleh ditawarkan oleh industri pelancongan Marrakesh.
Hilang segala-galanya
Aksum, yang mempunyai asal-usul di kampung pedalaman tetapi tinggal di Rabat, berkata gempa itu telah meragut nyawa saki-baki penduduk yang tinggal.
Sambil bercakap, dia menuding ke arah hidungnya, dan berkata haiwan ternakan yang dipelihara oleh penduduk tempatan kini tertimbus di bawah runtuhan dan mula reput.
“Sekarang orang sudah kehilangan segala-galanya”, katanya.
Semasa dia bercakap, dua lelaki muda dalam pakaian berlumuran dengan debu putih runtuhan duduk di atas batu dan menangis, tetapi tidak berkata apa-apa.
Menjelang Ahad, perumahan kecemasan dalam bentuk khemah kuning didirikan di jalan masuk ke bandar.
Anggota perkhidmatan perlindungan awam kerajaan membawa katil kem dari trak tentera ke arah khemah.
Kumpulan bukan untung juga berada di kawasan itu, menilai apa yang diperlukan oleh penduduk yang tinggal di kampung seperti Tikht, makanan dan air.
Beberapa orang berkata mereka masih terkejut dengan kerugian yang dialami serta skala kerosakan, dan tidak dapat menyatakan dengan pasti apa langkah mereka seterusnya.
Tetapi Omar Ait Mbarek berkata dia pasti mengenai satu perkara.
“Saya akan bina semula rumah saya,” katanya, masih memegang telefon berhabuk arwah tunangnya, sebelum berjalan beredar dari runtuhan. – AFP