Lepaskan slot kepada jemaah lain

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Mana-mana jemaah yang masih belum bersedia dan ada kekhuatiran untuk menunaikan solat Fardu Jumaat di masjid dinasihatkan untuk tidak membuat tempahan solat fardu itu dalam sistem BruHealth.

Manakala bagi jemaah yang sudah pun menempah tetapi pada saat-saat akhir merasa kurang sihat, disarankan mereka menekan butang ‘Saya tidak hadir’ dalam sistem tersebut.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu dalam kenyataan pada Sidang Media Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Ini mengambil kira pengisian slot di masjid, balai-balai ibadat dan surau berkenaan telah digunakan dan menghalang jemaah lain untuk membuat tempahan,” katanya.

“Dengan tidak menempah atau menekan butang ‘Saya tidak hadir’, akan melepaskan slot berkenaan dan seterusnya membolehkan jemaah lain yang benar-benar berkeinginan untuk mendapatkan slot bagi menunaikan solat Fardu Jumaat,” tambahnya.