Leroy Sane milik Bayern Munich

BERLIN, 3 JULAI – Bayern Munich semalam, mengesahkan telah menandatangani kontrak pemain sayap Jerman, Leroy Sane dari Manchester City dengan kontrak lima tahun dengan harga lebih 50 juta euro.

“FC Bayern adalah kelab yang sangat besar dan mempunyai sejarah yang besar, maka ia juga sesuai untuk saya,” kata pemain berusia 24 tahun itu, yang ingin memenangi Liga Juara-Juara bersama kelab gergasi Bundesliga itu.

“Saya menantikan cabaran baharu dan tidak sabar untuk berlatih bersama pasukan.”

Sane tidak sabar untuk menjalin hubungan kembali dengan ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick, yang baru sahaja memimpin kelab ke gelaran liga kelapan berturut-turut di Bundesliga dengan musim pertamanya.

“Saya mengenali Hansi Flick dari pasukan kebangsaan Bawah-21, kami mempunyai hubungan yang sangat baik,” tambah Sane. “Saya mahu memenangi piala sebanyak mungkin gelaran di FC Bayern dan Liga Juara-Juara.”

Pemain baharu ditandatangani kelab FC Bayern, Leroy Sane, ketika di dalam kereta semasa meninggalkan lokasi latihan FC Bayern di Munich, Jerman, kelmarin. – AP

Juara Bundesliga itu tidak menyatakan jumlah bayaran perpindahannya, tetapi Sky Sports dan BBC telah melaporkan bahawa Bayern dan City menyetujui bayaran sebanyak £54.8 juta (AS$67.36 juta).

“Kami gembira dapat memanggil Leroy Sane ke Bayern,” kata ketua kelab Karl-Heinz Rummenigge.

“Dia adalah pemain yang sangat hebat yang telah membuktikan kualitinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama dalam pasukan kebangsaan.

“Matlamat kami adalah untuk mengumpulkan pemain Jerman yang terbaik di FC Bayern dan komitmen Leroy mengesahkannya.”

Pemain berusia 24 tahun itu akan mula bersiap untuk musim depan di Munich minggu depan, kata kelab itu, yang bermaksud dia tidak akan dapat beraksi pada final Piala Jerman Sabtu ini menentang Bayer Leverkusen di Berlin. – AFP