Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Lesen dilucut, memandu ketika mabuk

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang lelaki warga asing untuk membayar denda $2,500 atau berhadapan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayarnya, serta hilang kelayakan mendapatkan lesen dan memandu di Negara Brunei Darussalam selama tiga tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Warga Amerika Syarikat, Darran Heng, 32, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Eleana DSP Haji Hairol Arni atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk pada jam 5:30 petang, 15 Mac di Jalan Kota Batu.

    Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Muhammad mendedahkan di mahkamah bahawa pihak polis mendapati perbuatan defendan apabila mereka bergegas menuju ke tempat kejadian kemalangan kereta berhampiran Kampung Dato Gandi pada hari tersebut.

    Siasatan mendapati kemalangan itu berpunca apabila defendan memandu ke laluan bertentangan, menyebabkan sebuah trak pikap dari arah hadapan terbabas bagi mengelak perlanggaran, namun kereta defendan tetap juga bertembung dengan trak pikap tersebut.

    Peguam defendan, Ahmad Zakaria Mohammad, merayu pertimbangan mahkamah dengan mengambil kira kekesalan defendan dan dia hanya pergi minum pada hari tersebut atas jemputan rakannya.

    Defendan juga serta-merta mengakui perbuatannya dan membayar ganti rugi kepada pemandu lain, kereta sewanya dan pihak ketiga kenderaan itu, berjumlah di bawah $10,000.

    Majistret, ketika menjatuhkan hukuman, berkata defendan bernasib baik kerana tiada kecederaan dilaporkan dan mengingatkannya supaya berhati-hati semasa menggunakan jalan raya yang mana dikongsi bersama orang lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...