Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lesen kenderaan kini dalam TransportBN

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Pemasangan pelekat lesen kenderaan ataupun vehicle licence tidak lagi akan diperlukan ditampal pada cermin hadapan kenderaan.

    Langkah tersebut adalah salah satu pembaikan perkhidmatan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Menurutnya lagi, mengenai pengenalan baru lesen kenderaan yang berbentuk digital ini, MTIC dan Jabatan Pengangkutan Darat telah pun mengadakan taklimat dan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu dalam negara termasuk Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pasukan Polis Diraja Brunei, wakil Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Malaysia, termasuk konsulat Negara Brunei Darussalam di Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, orang ramai, terutama pemandu-pemandu yang berhasrat untuk keluar ke negara jiran adalah disarankan untuk mencetak lesen kenderaan dari aplikasi TransportBN terlebih dahulu untuk disimpan di dalam kenderaan bagi sebarang kemungkinan ianya diperlukan sahaja.

    “Sekiranya diperlukan, orang ramai juga mempunyai pilihan untuk mence-tak lesen kenderaan mereka di cawangan JPD di setiap daerah,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Sebelum ini, merujuk Sidang Media MTIC pada 7 Oktober 2021, MTIC telah memaklumkan mengenai sistem pesanan ringkas (SMS) bagi menggantikan kad lesen memandu dan pelekat lesen kenderaan sebagai langkah interim yang diambil dalam memastikan keberlangsungan perkhidmatan pembaharuan di bawah pelan kelangsungan perniagaan (BCP) JPD.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Langkah interim SMS tersebut telah dilaksanakan bermula 8 Oktober 2021 hingga 11 Disember 2021 bagi SMS Lesen Memandu dan 8 Oktober 2021 hingga 15 Disember 2021 bagi SMS Lesen Kenderaan.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa dari 1 Ogos sehingga 13 Disember, JPD telah menerima sebanyak 131,254 permohonan iaitu sebanyak 87,616 bagi lesen kenderaan dan sebanyak 43,638 bagi lesen memandu.

    Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 97 peratus iaitu 127,415 permohonan telah diluluskan dan hanya 3 peratus iaitu 3,839 permohonan yang masih diproses. Sementara itu sebanyak 97,263 SMS telah dihantar iaitu sebanyak 66,290 SMS bagi permohonan lesen kenderaan dan 30,973 SMS bagi permohonan lesen memandu.

    Menurutnya, lesen digital tersebut boleh diakses secara dalam talian melalui aplikasi telefon bimbit dan ianya mengandungi maklumat-maklumat mengenai keterangan butiran pemandu dan kenderaan.

    “Antara maklumat ini adalah kelas lesen memandu, pemilik kenderaan dan tempoh sah lesen bagi setiap kenderaan dan tempoh sah kelas atau kelas-kelas lesen memandu bagi setiap pemegang atau pemandu,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Pengguna perlu mendaftar akaun di e-Darussalam bagi yang belum membuat demikian. Bagi mereka yang sudah mempunyai akaun e-Darussalam, mereka hanya memerlukan nombor kad pengenalan pintar serta kata laluan e-Darussalam untuk melaksanakan urusan secara perkhidmatan sekali sahaja.

    “Kod-kod warna juga digunakan bagi menunjukkan status lesen iaitu kod warna hijau bagi status lesen memandu yang sah, kod warna kuning bagi tempoh sah lesen 30 hari dari tarikh mansuh dan kod warna merah bagi lesen memandu yang sudah mansuh,” jelas beliau lagi. Orang ramai juga boleh menggunakan ciri iaitu ‘Cari’ (Search) melalui TransportBN ataupun laman web JPD iaitu www.jpd.gov.bn/lesen bagi mengetahui status dan tempoh sah lesen memandu dan lesen kenderaan tanpa perlu mempunyai akaun e-Darussalam.

    Selain itu, orang ramai juga boleh mencetak lesen memandu digital dan lesen kenderaan digital dengan memilih ‘PDF’ di TransportBN. Maklumat lanjut mengenai dengan lesen digital itu akan dikongsikan oleh JPD dalam masa yang terdekat ini.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk memuat turun ataupun mengemas kini dan seterusnya menggunakan versi terkini TransportBN yang boleh didapati di App Store bagi iOS dan Google Play bagi pengguna Android bagi menggunakan ciri-ciri baharu ini. Sebagai langkah tambahan, Yang Berhormat Dato memaklumkan orang ramai yang memohon dan membaharui lesen memandu selepas 8 Disember juga mula diberikan kad lesen memandu fizikal dan tidak lagi menerima SMS.

    Bagi permohonan yang dibuat sebelum 8 Disember, pihak JPD akan mengeluarkan kad lesen memandu fizikal kepada pemohon atau pemegang lesen memandu secara berperingkat-peringkat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda