Letak jawatan selepas hadiah AS$3 juta terdedah

TOKYO, 9 OKT – Pengerusi firma tenaga Jepun meletak jawatan hari ini selepas mengaku dia dan eksekutif lain menerima pemberian wang dan hadiah bernilai sekitar AS$3 juta dari sebuah bandar yang menghoskan salah satu loji nuklear mereka.

Wang dan hadiah itu telah diberi kepada kira-kira 20 eksekutif selama tujuh tahun bermula 2011 oleh mendiang timbalan datuk bandar Takahama, tempat Kansai Electric (KEPCO) mempunyai loji nuklear.

“Saya dan (presiden KEPCO Shigeki) Iwane telah memutuskan untuk meletak jawatan untuk menjernihkan tanggungjawab pengurusan kami berhubung situasi tersebut,” kata Pengerusi KEPCO, Makoto Yagi memberitahu wartawan selepas mesyuarat lembaga.

Peletakan jawatan Yagi berkuat kuasa serta-merta, namun Iwane akan kekal sehingga siasatan bebasnya atas skandal itu diselesaikan tahun ini, katanya.

Hadiah itu terdedah selepas siasatan daripada pihak berkuasa cukai ke atas mendiang timbalan datuk bandar Eiji Moriyama.

Menurut media tempatan, siasatan agensi cukai mendapati Moriyama menerima komisen 300 juta yen dari syarikat pembinaan tempatan yang diupah untuk projek-projek itu di loji Takahama.

Moriyama dilaporkan memberitahu pihak berkuasa cukai dia telah memutuskan untuk memberi para pegawai KEPCO wang dalam bentuk tunai dan hadiah sebagai tanda penghargaannya. – AFP