‘Let’s Go America!’ 20 September ini

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Dalam usaha untuk mempromosikan pengajian lepasan ijazah di Amerika Syarikat (AS), Kedutaan AS di Bandar Seri Begawan akan mengadakan Pesta Pendidikan ‘Let’s Go America!’ ke-5 pada 20 September ini di Hotel Radisson, di sini.

Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Daniel Lee menjelaskan pesta berkenaan akan disertai oleh Universiti Claremont Graduate, Universiti Embry-Riddle Aeronautical, Universiti George Washington, Universiti Marymount (Virginia), Universiti Michigan State, Sekolah Pengajian Siswazah Universiti Pennsylvania dan Universiti of Rhode Island.

Pesta yang membolehkan lepasan Ijazah melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi itu akan mengetengahkan konsultasi, pendaftaran bagi program dan khidmat kedutaan AS termasuk program biasiswa serta mengenali cendekiawan Fulbright serta Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).

Menurutnya lagi, pesta itu merupakan peluang hebat untuk pelajar dan ibu bapa yang mencari pilihan untuk meneruskan pengajian lebih tinggi di AS.

Penasihat EducationUSA, Mayra Robles (kiri) memegang poster Pesta Pendidikan ‘Let’s Go America!’ bersama Daniel Lee (kanan).

“Pada acara itu nanti orang ramai tanpa mengira usia boleh melihat peluang pembelajaran di AS, program tajaan kedutaan AS termasuk EducationUSA seperti program pelajar dan Biasiswa Fulbright atau jika anda mempunyai beberapa soalan mengenai ke AS, kami mengalu-alukan anda untuk mengunjungi pameran ini,” tambahnya semasa ditemu bual, hari ini.

Kakitangan Kedutaan AS boleh menjawab sebarang soalan mengenai pendidikan lebih tinggi AS, perjalanan, permohonan visa dan program pertukaran.

Tambahan lagi, YSEALI juga boleh berkongsi pengalaman langsung mengenai perjalanan, pembelajaran dan kehidupan di AS serta maklumat tentang aktiviti sukarelawan Brunei.