Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letshanaa mahu bukti kemampuan beri tentangan sengit

    KUALA LUMPUR, 4 FEB – Perseorangan wanita Malaysia, K. Letshanaa bertekad untuk memberikan tentangan sengit meskipun tampil sebagai pemain bukan pilihan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Februari.

    Letshanaa, 21, berkata beliau sedang berbincang bersama jurulatihnya dalam usaha memperbaiki kelemahan yang dimiliki untuk tampil lebih cemerlang pada kejohanan itu.

    “Masih belum konsisten lagi. Jadi, kami sedang menelitinya sekarang. Apakah kesilapan yang perlu kami perbaiki dan juga berbincang dengan Jurulatih Kenneth (Jonassen). Ini kerana kami perlu bersedia untuk BAMTC yang masih berbaki lima hari lagi. Jadi, apa yang boleh kami betulkan dalam lima hari ini untuk menjadikannya lebih baik.

    “Saya yakin kami mahu memberikan yang terbaik seperti yang saya lakukan di Indonesia. Hasilnya akan diketahui nanti, kerana kami bukan pemain pilihan dan apabila kami memberikan yang terbaik, maka hasilnya akan diperoleh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beregu campuran profesional Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menjadi satu-satunya pemain berpengalaman yang menyertai pasangan beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

    Perseorangan lelaki pula akan diisi Leong Jun Hao dan Justin Hoh bagi menggantikan pemain profesional yang sedang dalam pemulihan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, manakala Letshanaa dan Wong Ling Ching dipilih untuk mewakili Malaysia dalam kategori perseorangan wanita.

    Pemain beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kini menghuni kedudukan ke-12 dunia serta Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi akan beraksi bagi kategori beregu lelaki, manakala beregu wanita terdiri daripada Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui. – Bernama

    K. Letshanaa bertekad untuk memberikan tentangan sengit meskipun tampil sebagai pemain bukan pilihan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda