Di sebalik perjalanan dua dekad Kumpulan Letto Indonesia dalam memperjuangkan karya, ternyata band dari Indonesia itu pernah berdepan dengan penghinaan membabitkan dialek dan asal usul pada awal kemunculannya dalam industri muzik arus perdana sekitar 2004.
Vokalisnya, Noe atau nama sebenar, Sabrang Mowo Damar Panuluh, mengakui kedatangan mereka dari Jogjakarta dan bertutur dengan menggunakan dialek Jawa sering diperlekehkan beberapa pihak, malah turut dilabel kumpulan muzik bawahan.
Bagaimanapun menurut Berita Harian Online, Noe bersama anggota kumpulan lain iaitu Patub selaku pemain gitar, Cornel (gitar), Widi (keyboard) dan Dhedot (dram) tidak terkilan dengan segala penghinaan yang dilemparkan kepada mereka.
“Letto sudah biasa dengan kata-kata kesat atau tidak baik daripada orang lain dan kami hanya mengiyakan sahaja.
“Di awal kemunculan Letto, disebabkan kami adalah kumpulan dari Jogjakarta, jadi kami dianggap kumpulan kelas kedua kalau di Jakarta.
“Ini kerana, kami bercakap dalam dialek Jawa dan ia mungkin tidak cool bagi sesetengah orang. Jadi, kami diejek dan dihina, tapi kami anggap itu biasa dan mengiyakan sahaja semua percakapan mereka.
“Ada yang melabel sebagai band kampung, tapi kami mengiyakan juga sebab memang benar kami datangnya dari kampung,” kata Noe ketika ditemui pada sidang media Konsert Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Noe berkata, apa sahaja yang ingin diperkatakan langsung tidak memberi pengaruh, malah berbangga dengan asal usulnya sebagai band yang berasal dari wilayah berkenaan. – Agensi
