Letupan depot senjata cetus gempar

KIEV, 9 Okt – Kira-kira 12,000 orang dipindahkan selepas satu kejadian kebakaran dan siri letupan di sebuah depot senjata yang mengandungi beribu-ribu tan peluru di utara Ukraine awal hari ini, menurut pihak berkuasa.

Perkhidmatan kecemasan berkata mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai kematian atau kecederaan dalam kejadian yang berlaku dekat bandar Ichnya, lebih 170 kilometer dari Kiev.

Kebakaran dan letupan bermula sekitar 3:30 pagi di depot Kementerian Pertahanan No 6, menurut kenyataan perkhidmatan kecemasan. Keluasan kawasan yang terjejas tidak diketahui.

Perkhidmatan kecemasan berkata dalam satu kenyataan bahawa ‘kira-kira 88,000 tan peluru di dalam gudang berkenaan’.

Rakaman video yang dihantar ke laman sesawang perkhidmatan kecemasan menunjukkan asap yang menjulang naik dengan kedengaran bunyi letupan.

Kesan letupan jelas dilihat Kampung Zaudaika, kira-kira 8 kilometer dari depot senjata yang meletup dan terbakar di Ukraine. – AFP

Hampir 12,000 orang dipindahkan dari kawasan berisiko, termasuklah penduduk di 38 buah kampung, menurut pihak berkuasa serantau, manakala bekalan gas dan elektrik diputuskan untuk mencegah kemalangan.

Presiden Petro Poroshenko mengadakan mesyuarat ketua-ketua pasukan keselamatan dan berjanji akan memberikan bantuan perlu kepada penduduk, jurucakapnya menulis di halaman Facebook.

Perdana Menteri Volodymyr Groysman telah pergi melawat tempat kejadian dan mempengerusikan mesyuarat pegawai-pegawai perkhidmatan kecemasan.

Pihak berkuasa telah menutup ruang udara dalam lingkungan 30 kilometer sekitar tapak itu, dan juga lalu lintas landasan kereta api serta jalan raya ketika lebih seratus orang anggota bomba menjalankan tugas mereka di tempat kejadian.

Pihak pendakwa ketenteraan membuka penyiasatan ke atas kemungkinan kecuaian pegawai-pegawai, lapor agensi berita Interfax Ukraine.

Simpanan stok peluru sudah lapuk adalah dari era Soviet kerap punca kebakaran dan letupan di Ukraine dan Rusia. – AFP