NEW DELHI, 27 APRIL – Letupan bom yang mengorbankan tiga guru Cina di Karachi hari ini dilihat sebagai percubaan untuk menjejaskan hubungan dan projek ekonomi antara Pakistan-China.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif diiringi beberapa menteri, termasuk Menteri Hal Ehwal Luar Hina Rabbani Khar dan Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah Khan, melawat Kedutaan China di Islamabad bagi mengucapkan takziah.
“Serangan itu tidak akan berjaya menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara,” kata Shehbaz.
Beliau memberi jaminan kepada kuasa usaha China, Pang Chunxue bahawa kejadian itu akan disiasat segera dan Pakistan akan memastikan dalang di sebalik kejadian itu akan menerima hukuman sewajarnya, menurut pejabat perdana menteri dalam hantaran di media sosial.
“Perbuatan pengecut itu juga satu serangan terhadap persahabatan dan kerjasama berterusan antara kedua-dua negara.
“Pakistan dan China adalah mempunyai hubungan yang rapat. Pakistan sangat mementingkan keselamatan warga China, projek dan
institusinya di Pakistan,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar dalam satu kenyataan.
Tahun lalu sembilan warga China dan empat rakyat Pakistan terbunuh dalam satu letupan menyasarkan bas yang dalam perjalanan ke tapak projek kuasa hidro Dasu 4,300 megawatt di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Kumpulan pengganas Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) didakwa bertanggungjawab atas serangan itu. – Bernama