WASHINGTON, 27 DIS – Pihak berkuasa menggeledah sebuah rumah di Nashville kelmarin ketika mereka menyiasat mengenai letupan besar yang menggegarkan pusat bandar di bandar selatan Amerika Syarikat (AS) pada pagi Krismas, mencederakan beberapa orang dan merosakkan puluhan bangunan.
Operasi di Antioch dibuat ketika laporan media AS berkata ‘lelaki yang dikehendaki’ berusia 63 tahun telah dikenal pasti mempunyai hubung kait dengan letupan, berlaku dari sebuah karavan yang diletakkan dan mengeluarkan amaran sebelum meletup.
Beberapa media AS melaporkan kelmarin malam bahawa pengebom mungkin terbunuh dalam letupan, tetapi pihak berkuasa tidak mengesahkan apa-apa setakat ini.
Letupan pada Jumaat di pusat bandar bersejarah Nashville, merosakkan kira-kira 40 buah bangunan dan mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang, dengan jalan-jalan sebahagian besarnya lengang pada waktu seperti itu.
Polis berkata letupan ‘disengajakan’ tetapi motif masih belum jelas dan analisis tingkah laku FBI turut terlibat dalam siasatan.
“Kerosakan sangat mengejutkan dan ia adalah satu keajaiban tiada penduduk yang terkorban,” kata gabenor Tennessee, Bill Lee berkata melalui Twitter, kelmarin.
Laporan media berkata penduduk tempatan sebelum ini menjumpai karavan di luar rumah dan telah diperiksa pada Sabtu oleh pihak berkuasa. Tiada sebarang tangkapan dibuat, tetapi ‘maklumat perkembangan semasa siasatan membawa kami kepada satu alamat persuratan,’ menurut jurucakap FBI dalam sesi temu bual. – AFP































