Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Letupan hotel mewah korbankan 27 orang

    HAVANA, 8 MEI – Anggota menyelamat menggeledah menerusi runtuhan hotel mewah Havana semalam, ketika angka kematian selepas letupan kuat disebabkan kebocoran gas meningkat kepada 27 orang, kata pihak berkuasa.

    Tidak ada mangsa hidup yang ditemui di tingkat aras Hotel Saratoga, dan anggota menyelamat berkata mereka kini menumpu usaha mereka di puing-puing yang memenuhi tingkat bawah dua tingkat bangunan tersebut.

    Pihak berkuasa melaporkan semalam bahawa 37 orang telah dimasukkan ke hospital, berkurangan daripada jumlah 46 sebelum ini.

    Hotel tersebut telah ditutup untuk perniagaan semasa kerja-kerja ubahsuai, dan kebanyakan mangsa letupan pada Jumaat adalah pekerja pembinaan atau pekerja hotel yang bersedia untuk pembukaannya.

    Namun seorang pelancong Sepanyol berusia 29 tahun, yang berjalan berdekatan hotel itu, terbunuh dalam letupan.

    Gambar menunjukkan bilik-bilik terdedah di Hotel Saratoga selepas letupan kuat di Old Havana, Cuba pada 6 Mei 2022. – AP

    Setakat ini, 11 pekerja hotel telah disahkan mati, kata Roberto Enriquez Calzadilla, jurucakap kumpulan pelancongan Gaviota, yang menguruskan hotel itu.

    Beliau berkata letupan berlaku ketika tangki gas sedang diisi semula oleh sebuah trak tangki.

    Pegawai berkata mangsa yang terkorban termasuk empat kanak-kanak dan remaja. Lebih satu dozen mangsa yang dimasukkan ke hospital disenarai dalam keadaan serius atau kritikal.

    Letupan menghancurkan sebahagian besar wajah bangunan, memecahkan tingkap dan memusnahkan kereta yang diletak di luar hotel lima bintang itu, yang sebelumnya pernah menjadi hos kepada selebriti seperti Madonna, Beyonce, Mick Jagger dan Rihanna.

    Dengan kerja pengubahsuaian hotel hampir selesai, pembukaannya telah dijadualkan pada Selasa depan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...