BEIJING, 31 Mac – Letupan yang berlaku di kilang pengeluar komponen elektronik di timur China semalam telah mengorbankan tujuh orang dan mencederakan lima yang lain, menurut pihak berkuasa.
Letupan berlaku apabila sebuah kontena tempat menyimpan logam sekerap meletup, lalu terbakar di luar kilang di bahagian memproses eksport di Kunshan wilayah Jiangsu, menurut kerajaan setempat di akaun media sosial rasminya, WeChat.
“Punca kemalangan di luar Kunshan Water Technologi Corp Ltd masih disiasat,” menurut kenyataan.
Kebakaran dari unit penyimpanan merebak ke bengkel kilang berhampiran, tambahnya, manakala salah seorang dari lima orang yang tercedera dalam keadaan kritikal.
Kejadian berlaku kurang seminggu selepas satu lagi kemalangan teruk perindustrian di Chia baru-baru ini, yang mana letupan di kilang kimia di wilayah sama telah mengorbankan 78 orang dan mencederakan beratus-ratus orang lagi.
Letupan kuat di bandar timur Yancheng telah meruntuhkan beberapa buah bangunan di taman perindustrian, meletupkan cermin tingkap di beberapa buah rumah berhampiran dan malah menjejaskan pintu logam garaj.
Ia mengakibatkan Majlis Negara, Kabinet China mengarahkan pemeriksaan firma-firma kimia di seluruh negara termasuklah penilaian risiko untuk mengenal pasti bahaya keselamatan.
Kemalangan perindustrian yang membawa maut adalah lumrah di China, yang mana peraturan keselamatan kerap tidak dikuatkuasakan dengan sempurna.
Pada November lalu, kebocoran gas di sebuah kilang di bandar utara China, Zhangjiakou, yang akan menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk 2022, telah mengorbankan 44 orang dan mencederakan 21 yang lain.
Chloroethylene yang bocor terdedah pada sumber api yang mengakibatkan letupan, menurut pihak berkuasa dalam laporan bulan Februari, yang juga mendakwa firma kimia China itu bertanggungjawab bagi kemalangan itu telah menyembunyikan maklumat dan menipu para penyiasat.
Dan dalam tahun 2015, China telah menyaksikan salah satu kemalangan industrinya yang paling teruk apabila letupan besar kimia di bandar pelabuhan utara, Tianjin yang mengorbankan kira-kira 165 orang. – AFP





























