Letupan kuat gegar Sapporo, Jepun

TOKYO, 17 Dis – Satu letupan besar telah meruntuhkan sebuah restoran di utara Jepun, mencederakan 42 orang dan mengakibatkan kerosakan teruk ke atas bangunan berdekatan hingga memaksa sebahagian penduduk mendapatkan perlindungan, menurut para pegawai.

Letupan yang berlaku di Sapporo malam semalam menyebabkan kebakaran berlaku dan sebahagian bangunan di kawasan sekeliling runtuh.

Imej-imej dari lokasi kejadian menunjukkan api menjulang besar dan asap tebal dan para saksi menjelaskan mereka mendengar bunyi letupan yang mengerikan.

Punca letupan masih disiasat, kata polis. Salah seorang saksi melaporkan bahawa beliau terhidu bau gas selepas letupan terjadi.

Seorang pegawai polis bagi rantau Hokkaido memberitahu AFP bahawa sekalipun jumlah yang tercedera agak besar, namun tiada sebarang kematian dilaporkan.

Anggota bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat selepas satu letupan kuat berlaku di sebuah restoran di Sapporo, kelmarin. – AFP

Sementara itu, menurut agensi berita Jiji Press, berkata salah seorang mangsa cedera dalam keadaan serius, mengalami hangus pada bahagian mukanya dan tiada seorang mangsa pun berdepan kecederaan yang boleh mengancam ke-selamatan mereka.

Beberapa orang kanak-kanak turut dilaporkan antara mangsa yang tercedera pada letupan itu.

“Saya terdengar satu letupan besar, bunyinya seperti petir dan kondo saya bergegar,” menurut seorang lelaki berusia dalam 50an kepada The Japan Times.

“Berlaku letupan yang besar, kemudian apabila saya mendongak ke langit, ia dipenuhi dengan kepulan asap,” menurut seorang wanita berusia dalam satu futej yang disiarkan oleh penyiar awam NHK.

Bangunan kayu dua tingkat yang menempatkan restoran itu, sebuah agensi hartanah dan klinik dalam keadaan rosak teruk, menurut seorang pegawai jabatan bomba Sapporo kepada AFP.

Kebakaran akibat letupan merebak ke beberapa buah bangunan berdekatan dan serpihan letupan telah menyebabkan tingkap di apartmen dan restoran berdekatan pecah, menurut laporan setempat. – AFP