Letupan minyak ragut 73 nyawa

TLAHUELILPAN, Mexico, 20 Jan – Letupan dan kebakaran di tengah Mexico mengorbankan kira-kira 73 orang selepas beratus-ratus orang menuju tapak paip saluran minyak haram untuk menadah gasolin di tengah tindakan keras kerajaan ke atas pencurian minyak, menurut para pegawai.

Gabenor negeri Hidalgo, Omar Fayad mengumumkan bahawa angka kematian telah meningkat kepada 73 orang selepas penemuan lima lagi mayat.

Letupan itu, menurut Fayad telah mencederakan 74 orang, berlaku di Tlahuelilpan, sebuah bandar yang dihuni 20,000 orang kira-kira sejam pemanduan di utara bandar Mexico.

Ketika anggota-anggota tentera mengawal tempat yang telah musnah dan masih berasap, pakar-pakar forensik berpakaian putih bekerja memeriksa mayat-mayat yang rentung, ramai yang kaku dalam kedudukan luar biasa ketika mereka terkorban dan orang awam yang kesedihan melangkah berhati-hati dalam pencarian terdesak anggota-anggota keluarga mereka yang telah hilang.

Bau kuat minyak berlegar-legar di udara. Serpihan pakaian yang terbakar berselerakan di belukar yang terbakar.

Kebakaran besar yang berpunca daripada kebocoran paip gasolin di Tlahuelilpan telah menyebabkan kira-kira 73 orang terkorban dan mencederakan 74 orang yang lain. Mereka yang terkorban kebanyakannya adalah mereka yang cuba mencuri minyak yang dibocorkan oleh penyeludup minyak. – AFP

Apabila para pekerja forensik mula hendak menaikkan mayat-mayat ke dalam van untuk dibawa ke rumah pengebumian, kira-kira 30 orang penduduk kampung cuba menghalang mereka. Mereka mahu mengambil mayat-mayat kaum keluarga mereka, dengan mengatakan tempat pengebumian terlalu mahal.

Akhirnya mayat-mayat telah dibawa ke rumah mayat, menurut pihak berkuasa.

Jumaat lalu apabila pihak berkuasa mengetahui bahawa penyeludup minyak telah membocorkan saluran paip, unit tentera seramai kira-kira 25 orang anggota tentera tiba dan cuba menutup kawasan itu, Setiausaha Pertahanan Luis Crescencio Sandoval memberitahu para pemberita.

Namun tentera-tentera tidak dapat mengawal kira-kira 700 orang awam, termasuklah keseluruhan keluarga yang beramai-ramai menuju kawasan itu untuk menadah gasolin yang bocor ke dalam bekas dan baldi, menurut para saksi.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, presiden berhaluan kiri yang menyandang jawatannya baru beberapa minggu lalu, telah pergi ke tempat kejadian itu awal semalam. – AFP