Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Letupan Mogadishu ragut 5 jiwa

    MOGADISHU, 13 Mac – Kira-kira lima orang terbunuh dan 12 lagi cedera dalam dua pengeboman kereta berasingan di bandar Mogadishu, Somalia hari ini, kata para pegawai dan saksi.

    “Lebih daripada lima orang disahkan maut sejauh ini dan ramai lagi yang cedera dalam satu letupan bom kereta berhampiran hotel Weheliye,” kata pesuruhjaya polis daerah, Ise Gure Mohamed.

    Saksi-saksi berkata jumlah mangsa korban letupan itu yang berlaku di sepanjang jalan sibuk Maka Al-Mukarama mungkin lebih tinggi.

    “Saya menyaksikan mayat tujuh orang namun jumlah kematian mungkin lebih tinggi lagi, ramai yang cedera parah di sebuah kedai teh berhampiran jalan tersebut tempat kenderaan itu meletup, kata saksi, Muhidin Ali.

    Seorang saksi lagi, Abdirahman Mohamed, berkata dia menyaksikan kira-kira 10 mayat bergelimpangan di kawasan itu.

    Pasukan keselamatan Somalia berjalan melintas mayat di tempat kejadian serangan bom kereta di Mogadishu pada 13 Mac. – AFP
    Pasukan keselamatan Somalia berjalan melintas mayat di tempat kejadian serangan bom kereta di Mogadishu pada 13 Mac. – AFP

    Pekerja perkhidmatan ambulans berkata mereka menyelamatkan lapan orang yang cedera dalam letupan tersebut.

    Letupan sebelumnya telah berlaku berhampiran pusat pemeriksaan tentera di timur bandar itu selepas pengawal menghentikan bas mini yang disyaki.

    Kira-kira empat orang cedera dalam serangan itu.

    Kumpulan militan Shabaab yang bersepakat dengan Al-Qaeda yang berjuang untuk menggulingkan kerajaan mendakwa melakukan serangan di hotel itu yang dikatakannya menempatkan ‘para pegawai dan pengkhianat’.

    Perdana Menteri Somalia, Hassan Ali Khaire mengecam serangan pada awal pagi itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda