Letupan periuk api bunuh enam wanita

BAMAKO, 13 SEPT – Enam wanita termasuk seorang hamil, terbunuh apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlanggar periuk api, di selatan Mali, semalam.

Kejadian itu dianggap keganasan terbaharu melanda negara Sahel yang dilanda perang. Dipercayai periuk api dipasang oleh kumpulan militan.

Kesemua wanita itu dalam perjalanan menaiki ambulans di wilayah Sikasso selatan, melalui jalan lombong, kata pendakwa raya wilayah Dramane Diarra.

Pemandu ambulans adalah satu-satunya yang terselamat daripada letupan periuk api itu, tetapi dilaporkan cedera parah.

Seorang pegawai tempatan, yang enggan namanya disebut, memberitahu AFP bahawa pemandu itu sudah dibawa ke hospital.

Foto ambulans yang musnah, tidak dapat disahkan oleh AFP yang diedarkan di media sosial, semalam. Keganasan di wilayah selatan di mana letupan berlaku, berhampiran sempadan Burkina Faso, dilaporkan terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mali berjuang untuk menumpaskan pemberontakan Islam yang kali pertama meletus di utara pada 2012, sebelum ia merebak ke ibu negara dan negara jiran Burkina Faso dan Niger.

Ribuan tentera dan orang awam terkorban dalam konflik itu setakat kini, dan ratusan ribu meninggalkan kediaman masing-masing. – AFP