Letupan teksi, empat ditahan

LIVERPOOL, 15 NOV – Polis di barat laut England hari ini berkata mereka menyifatkan letupan maut di luar sebuah hospital di Liverpool sebagai ‘insiden pengganas’ melibatkan bom buatan sendiri yang dilaporkan telah digagalkan oleh seorang pemandu teksi.

Russ Jackson yang bertanggungjawab ke atas dasar pencegahan keganasan di rantau itu berkata motif letupan kelmarin dalam sebuah teksi masih belum jelas.

Namun katanya, peranti letupan improvisasi yang dicetuskan dalam teksi itu, bertukar menjadi bebola api, yang ‘direka oleh penumpang’ yang telah mati akibat ledakan itu.
Letupan di luar Hospital Wanita Liverpool itu muncul beberapa minit sebelum perkhidmatan Remembrance Sunday diadakan dekat gereja Liverpool.

Ia mencetuskan spekulasi yang acara itu telah disasarkan.

“Kami buat masa ini belum dapat mengaitkannya dengan acara itu tapi ia masih dalam siasatan. Meskipun motif insiden itu belum difahami, dalam keadaan tersebut, ia telah disahkan sebagai insiden pengganas,” kata Jackson semasa sidang media.

Pegawai polis forensik semasa menjalankan siasatan letupan di Hospital Wanita di Liverpool pada 15 November. – AFP

Tiga lelaki berusia 21, 26 dan 29 tahun telah ditangkap di bawah Akta Pengganasan sejurus selepas letupan berlaku dekat kawasan bandar Kensington dan masih disiasat.

Lelaki keempat, berusia 20, telah ditahan awal hari ini, kata Jackson, menambah ‘beberapa barangan’ telah ditemui di alamat kedua Taman Sefton, dekat Kensington.

Pemandu teksi juga dipuji, yang melaporkan telah mengunci penumpang – seorang lelaki – di dalam kereta itu selepas timbul keraguan tentang niatnya.

Penumpang itu hendak pergi ke perkhidmatan tahunan di gereja Anglican Liverpool, menurut media UK memetik para penyiasat dan rakan drebar teksi.

Namun penutupan jalan raya memaksa teksi itu melencong dan tersekat di hospital berdekatan di mana bom itu meledak sejurus selepas pemandu teksi itu menyelamatkan diri, lapor Daily Mail. – AFP