Letupkan ATM, gagal larikan wang tunai

PHILADELPHIA, 4 OKT – Tiga lelaki meletup sebuah Mesin Teler Automatik (ATM) di sebuah restoran bawa pulang China di Philadelphia sementara restoran itu masih dibuka tetapi gagal mendapatkan sebarang wang, kata polis.

Lelaki berkenaan memasuki restoran China di barat laut Philadelphia sejurus selepas 9 malam pada Jumaat dan memesan makanan, kata polis. Mereka seterusnya meletakkan alat letupan yang merosakkan ATM dan tingkap dan menyebabkan beberapa barangan di atas rak jatuh bertaburan di belakang kaunter, kata polis.

Ketiga-tiga mereka kembali semula ke restoran namun gagal mengeluarkan peti wang yang masih berada di dalam ATM yang rosak, menurut polis. Mereka kemudian melarikan diri, seorang menunggang basikal dan dua lagi melarikan diri dengan kaki. Polis sedang memburu suspek dan tidak ada tangkapan yang dilaporkan. – AP