LAHAD DATU, 19 SEPT – Letusan gunung berapi lumpur di Lipad Mud Volcano, Taman Hidupan Liar Tabin dekat sini semalam yang tular di media sosial bukan pertama kali
berlaku sebaliknya pernah terjadi pada 2014.
Pengurus Besar Tabin Wildlife Holidays, Lawrence Chin berkata kejadian semalam disaksikan kira-kira lapan individu termasuk pelancong serta pemandu pelancong.
“Ada pemandu pelancong dan pelancong dalam perjalanan untuk memerhati burung dan melawat kawasan sekitar, tiba-tiba berlaku letusan kuat dan buih-buih keluar, kejadian berlaku kira-kira 10 minit,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, beberapa laman Facebook memuat naik video letusan gunung berapi lumpur berkenaan dan mendapat perhatian warganet.
Chin berkata lumpur yang dimuntahkan daripada letusan itu selamat dan tidak panas.
Sementara itu, pemandu pelancong Hamit Suban, 43, menyaksikan kejadian itu pada 10 pagi ketika membawa beberapa pelancong asing memulakan lawatan ke dalam kawasan hutan Tabin. – Bernama