Letusan gunung berapi tarikan pelancong ke Sepanyol

LA LAGUNA, SEPANYOL – Jalan berliku-liku sempit di La Palma dibelenggu kesesakan lalu lintas pada waktu senja apabila penduduk dan pelawat mengerumuni gunung berapi baharu di pulau Sepanyol itu untuk merakamkan gambar walaupun ketika ia memuntahkan abu ke udara dan lahar berpijar menelan vila, tanaman serta gudang semasa mengalir menuruni cerun gunung menuju ke laut.

Dengan letusan yang berderum-deram, diselang-seli dengan bunyi dentuman magma ketika ia terlepas ke permukaan, pemandangannya sungguh memukau semua orang. Namun pekerja kecemasan, pekebun pisang dan penanam anggur di La Palma kurang berminat dengan salah satu peristiwa paling mengagumkan yang terbentang di depan mata penduduk sendiri.

“Ia bukan satu gurauan,” kata Pedro Jose Alegria, 70, seorang pekebun yang telah kembali ke La Laguna, kejiranan yang bersempadan dengan salah satu kawasan di mana penduduknya telah dipindahkan, untuk memberi makan kepada keldainya.

Bercakap dari trak yang diselimuti abu, Pedro berkata dia bimbang mengenai beberapa rumah hijau yang dimilikinya di ladang pisang yang menghadap Lautan Atlantik.

Kawasan itu, terletak di mana rabung Cumbre Vieja diranapkan, dikenali sebagai Los Llanos, yang bermakna The Flats dalam bahasa Inggeris. Ia mempunyai tanah-tanih paling subur di La Palma, tempat asal kepada pokok avokado, betik dan tanaman lain, tetapi juga ladang anggur yang membekalkan anggur untuk penghasilan wain yang semakin popular di Pulau Canary.

Lahar panas mengalir ke kolam renang selepas letusan gunung berapi di pulau La Palma di Canaries, Sepanyol. – AP
Lahar daripada letusan gunung berapi mengalir di pulau La Palma di Canaries, Sepanyol. – AP
Lahar daripada gunung berapi menelan sebuah bangunan berhampiran El Paso di pulau La Palma. – AP

Masalah utama yang dihadapi Alegria adalah lahar gunung berapi akan memusnahkan sistem paip yang menyalurkan kepada perenjis air di ladang. Namun timbul juga kebimbangan bahawa aktiviti gunung berapi akan menjadikan air bawah tanah tidak dapat digunakan untuk minuman serta kegiatan penanaman pisang yang banyak menggunakan air.

“Gunung berapi mungkin tidak membunuh kami secara langsung, tetapi ia akan menjadikan kami bankrap,” kata Alegria.

Meskipun tanah suai tani yang sedikit di La Palma, kegiatan bercucuk tanam merupakan sumber pendapatan utama di pulau itu. Buah pisang adalah aset industri, hampir 3,000 hektar ladang ditanam dengan pokok pisang yang menyediakan pekerjaan untuk lebih 10,000 daripada 85,000 penduduk di pulau itu.

Di antara 6,000 dan 8,000 tan pisang dihantar setiap minggu dari pulau itu ke tanah besar Sepanyol dan negara Eropah lain.

Kepentingan pisang kepada La Palma juga sebab Alegria berasa marah apabila Menteri Pelancongan Sepanyol Reyes Maroto berkata pada Isnin bahawa kerajaan akan memberikan insentif kepada ‘pelancongan gunung berapi’ dan kemuncak aktif itu adalah daya penarik dan bagus untuk sektor pelancongan.

“Bolehkah menteri beritahu saya ia bagus untuk siapa? Ia mungkin memberikan manfaat kepada pelancong dan mereka yang memiliki hotel,” kata Alegria.

“Saya berusia 70 tahun dan mempunyai wang simpanan yang boleh menyara hidup saya selama tiga atau empat tahun,” tambahnya.

“Saya mungkin mati sebelum itu, tetapi terdapat orang lain di sini yang baru sahaja bermula, dan gunung berapi telah merampas segala-galanya daripada mereka.”

Letusan bermula pada petang Ahad. Menjelang Selasa, kon setinggi enam meter terbentuk di sekitar rekahan terbesar, mengeluarkan di antara 8,000 dan 10,500 tan sulfur dioksida sehari.

Aliran lahar, yang pada mulanya bergerak menuruni gunung pada 700 meter sejam, telah menjadi semakin perlahan. Namun dalam perjalananbya menuju ke Lautan Atlantik, ia memusnahkan lebih 160 bangunan pada petang Selasa, termasuk sebuah sekolah tempatan. Lahar juga menimbus jalan raya, menumbangkan tiang elektrik dan merosakkan infrastruktur lain. Kira-kira 5,500 penduduk telah dipindahkan.

Lokasi La Palma yang terletak di utara Pulau Canary menjadikannya menonjol berbanding kawasan lain di gugusan kepulauan itu. Tidak seperti resort Tenerife dan Lanzarote yang mempromosi pemandangan matahari terbenam dan hiburan kehidupan malam tidak berhujung, landskap La Palma yang belum dibangunkan secara perbandingan menarik golongan yang cergas yang ingin berbasikal, mendaki gunung dan sukan luar lain.

Pelawat Eropah Utara yang ingin mengelak musim sejuk atau musim panas yang lebih dingin juga membanjiri La Palma untuk menghabiskan percutian di sana.

Itulah caranya Matthias dan Anette Fuchs memutuskan untuk melabur kekayaan dan masa mereka dalam mengubah kotej tradisional kepada rumah percutian impian mereka. Ia mempunyai mozek di pintu masuk. Sebuah kolam renang. Dan satu dek di mana pasangan itu, yang menjalankan perniagaan import dan mengedaran wain di Jerman, menganjurkan majlis makan malam untuk kawan dan saudara.

Kesemuanya, termasuk panel solar yang dipasang oleh Fuch disebabkan mereka tidak mahu menjejas alam sekitar pulau, kini ditimbus dalam lahar.

“Ia adalah tempat istimewa, ia bagaikan syurga,” kata Anette Fuchs, air matanya bergenang.

Matthias Fuchs berkata pembinaan semula bukan satu pilihan untuk dirinya dan isteri, kini dalam umur pertengahan 60an. Tidak ada sesiapa yang tahu berapa lama letusan akan berlaku, dan ia mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk lahar mendap mengalir walaupun selepas ia berhenti, katanya. Peraturan kerajaan juga melarang bangunan didirikan di kawasan berbahaya. – AP