Letusan Semeru ragut 13 jiwa

LUMAJANG, INDONESIA, 5 DIS – Para penyelamat hari ini bergegas mencari mangsa di beberapa buah kampung yang diselubungi dengan lahar yang lebur selepas Gunung Berapi Semeru meletus, meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa dan puluhan lagi cedera, kata pegawai.

Letusan gunung terbesar di pulau Jawa itu mengejutkan penduduk tempatan kelmarin, menyaksikan ribuan melarikan diri dan memaksa beratus-ratus keluarga berpindah ke tempat perlindungan.

Sekurang-kurangnya 11 kampung di daerah Lumajang di Jawa Timur dilitupi lahar lebur gunung berapi, menimbus rumah-rumah dan kenderaan, membunuh haiwan ternakan dan men-gakibatkan sekurang-kurangnya 900 melarikan diri ke tempat perlindungan di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan balai raya kampung.

“Kami tidak tahu ia adalah lumpur panas,” kata Bunadi, seorang penduduk Kampung Renteng, sebuah kampung didiami kira-kira 3,000 orang.

“Tiba-tiba sahaja, langit jadi gelap dan ketika itu hujan dan debu tebal melanda,” tambahnya.

Penduduk kampung mengendong seorang kanak-kanak ketika mereka melarikan diri membawa apa sahaja barangan apabila kampung mereka diselubungi lahar lebur daripada letusan Gunung Berapi Semeru di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, 5 Disember. – AFP
Seorang lelaki memeriksa trak yang tertimbus dalam abu tebal berikutan letusan Gunung Berapi Semeru di daerah Lumajang, wailayah Jawa Barat, Indonesia, kelmarin. – AP

Rakaman dramatik disiarkan di televisyen tempatan dan media sosial menunjukkan Semeru memuntahkan kepulan debu tebal ke udara, melitupi penduduk yang melarikan diri sambil berteriakan di kampung berhampiran.

“Angka kematian kini 13 orang. Penyelamat menemui banyak lagi mayat,” jurucakap agensi mitigasi bencana kebangsaan, Abdul Muhari memberitahu AFP, tanpa menjelaskan punca kematian.

Dua daripada mangsa itu sudah pun dikenal pasti, katanya dalam kenyataan kemudiannya.

Sekurang-kurangnya 57 orang, termasuk dua orang wanita hamil cedera dalam letusan itu, 41 daripadanya mengalami lecur dan dirawat di hospital, menurut agensi itu.

Presiden Joko Widodo hari ini mengerahkan tindak balas kecemasan segera bagi mencari mangsa selepas skala bencana itu menjadi jelas, kata setiausaha negara Praktikno.

Seramai 10 orang terperangkap di sekitar Lumajang telah pun diselamatkan, ketika penduduk kampung dan anggota penyelamat bekerja semalaman mencari sesiapa yang terperangkap atau mengeluarkan mayat-mayat.

Namun usaha menyelamat dihambat oleh debu panas dan serpihan dengan pemindahan digantung sementara pada hari ini akibat awan panas yang menyelubungi kampung-kampung, menurut laporan Metro TV, menyerlahkan kerumitan operasi menyelamat. –AFP