Leverkusen menang mudah

BERLIN, 10 JUN – Hasrat pasukan kerdil, Saarbruecken untuk terus mencipta kejutan dalam saingan Piala Jerman tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen, pada aksi separuh akhir sebentar tadi.

Pasukan daripada liga divisyen empat Jerman ini yang beraksi kali terakhir secara kompetitif sejak Mac lalu, sebelum ini menjinakkan kelab terkenal Cologne dan Fortuna Duesseldorf dalam perjalanan untuk mencipta sejarah mara ke separuh akhir kejohanan.

Jurulatih Saarbruecken, Lukas Kwasniok berkata, barisan pemainnya sudah melakukan yang terbaik untuk meneruskan keajaiban bagi merebut tempat ke pentas final kejohanan itu di Stadium Olimpik Berlin pada bulan depan.

Mereka jelas gagal menandingi Leverkusen yang memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan pada aksi di stadium kecil dan kosong Saarbruecken di Selatan Jerman.

“Kami tewas, ia jelas mengecewakan kami semua. Saya terkilan kerana kami tidak cukup ampuh,” katanya kepada Sky.

Pelawat pantas mendahului dengan dua jaringan menerusi Moussa Diaby dan Lucas Alario dalam tempoh 20 minit yang terus mematahkan semangat tuan rumah untuk bangkit selepas itu.

Kedua-dua jaringan hasil bantuan Kerem Demirbay yang menghantar kepada Diaby untuk jaringan pembukaan manakala gol ketiga oleh Bellarabi juga menerusi hantaran Demirbay pada separuh masa kedua. Tuan rumah bernasib baik tidak dibolosi jaringan lebih besar apabila Paulinho terlepas beberapa peluang terbaik.

Sementara itu pengendali Leverkusen, Peter Posz gembira dengan keputusan berkenaan.
“Saya tidak pernah sangsi, tapi kita kena hormat Saarbrucken. Anak buah saya jelas fokus dan saingan berakhir selepas dua jaringan awal itu,” katanya.

Leverkusen akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Bayern Munich dan Eintracht Frankfurt yang bakal berentap di Allianz Arena awal pagi esok waktu tempatan. Aksi final bakal berlangsung 4 Julai ini. – AFP

Moussa Diaby (kanan) ketika beraksi merebut bola pada saingan Piala Jerman menentang FC Saarbruecken di Volklingen, kelmarin. – AFP