Lewandowski bantu bBayern benam Chelsea

MUNICH, 9 OGOS – Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-12 dan ke-13 di Liga Juara-Juara musim ini ketika Bayern Munich bersedia untuk perlawanan suku akhir menentang Barcelona selepas mencatat kemenangan 4-1 di laman sendiri ke atas Chelsea di perlawanan kelompok 16 terakhir pusingan kedua.

Mendahului 3-0 dari perlawanan pusingan pertama di Stamford Bridge pada Februari lalu sebelum kejohanan digantung kerana pandemik koronavirus, Bayern yang memburu kejuaraan ‘treble’ meluaskan dominasi mereka dengan mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 7-1.

Juara Bundesliga dan Piala Jerman itu akan bertemu Barcelona pada Jumaat di Lisbon untuk merebut slot separuh akhir.

Lewandowski menjaringkan gol dari sepakan penalti selepas 10 minit permainan di Allianz Arena. Pemain sayap, Ivan Perisic kemudian menggandakan kedudukan Bayern sebelum penyerang kebangsaan England, Tammy Abraham menjaringkan gol untuk memberikan sedikit harapan kepada Chelsea.

Walau bagaimanapun, pemain gantian, Corentin Tolisso telah memadamkan harapan kebangkitan Chelsea apabila dia berjaya menjaringkan gol menerusi hantaran dari Lewandowski 14 minit sebelum tamat perlawanan.

Aksi berkelas dunia dari Lewandowski yang terlibat dalam kesemua jaringan gol, membuat tandukan pada lewat minit untuk assist kedua perlawanan.

Selepas menunjukkan aksi sebenar pada pusingan pertama, Bayern meneruskan lagi penguasaan permainan dalam pertemuan kedua selepas enam bulan.

Mereka mendahului perlawanan menerusi Serge Gnabry, yang meledak dua gol di London, membuat hantaran kepada Lewandowski yang berlari ke dalam kotak penalti dan kemudian digagalkan oleh penjaga gol Chelsea, Willy Caballero. Penyerang Poland tersebut pada mulanya berada dalam kedudukan ofsaid tetapi selepas ulangan VAR, Caballero telah didapati bersalah dan diberi kad kuning. Lewandowski kemudiannya merembat masuk dan mencatat gol ke-12nya dalan tujuh penampilan Liga Juara-Juara.

Lewandowski kemudian mencipta peluang pada minit ke-24 ketika Bayern terus memberikan tekanan. – AFP

Reaksi Robert Lewandowski selepas menjaringkan gol menentang Chelsea kelmarin. Bayern mara ke pusingan separuh akhir dan bertemu Barcelona pada Jumaat di Lisbon. – AP