Lewandowski, Benzema calon anugerah FIFA

LAUSANNE, 23 NOV – Robert Lewandowski dijangka berpeluang mengekalkan anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA selepas sekali lagi dinamakan sebagai calon dalam senarai pendek 11 pemain bersama Karim Benzema dan Jorginho.

Calon pilihan seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo turut tersenarai bersama Neymar, Mohamed Salah dan Kylian Mbappe juga berpeluang meraih anugerah yang diperkenalkan sejak 2017 itu. Erling Haaland, N’Golo Kante dan Kevin De Bruyne melengkapkan senarai pemain berpotensi memenanginya.

Empat pemain Barcelona menyertai senarai bagi pemain terbaik wanita – Alexia Putellas, Jennifer Hermoso, Aitana Bonmati dan Caroline Graham Hansen. Chelsea, yang tewas kepada Barcelona pada aksi final Liga Juara-Juara Wanita musim lalu, juga mempunyai empat wakil iaitu Sam Kerr, Ji So-yun, Magdalena Eriksson dan Pernille Harder. Lucy Bronze yang memenanginya tahun lalu, tercalon bersama rakan sepasukan England, Ellen White.

Pemenang pingat emas Olimpik dari Kanada, Christine Sinclair juga bersaing sama seperti Stina Blackstenius dari Sweden.

Thomas Tuchel mendahului calon sebagai jurulatih lelaki terbaik selepas mengetuai Chelsea meraih gelaran Liga Juara-Juara dan akan berdepan cabaran Roberto Mancini yang membimbing Itali memenangi Euro 2020. Calon lain termasuk Hansi Flick, Pep Guardiola, Antonio Conte, Diego Simeone dan bos Argentina, Lionel Scaloni.

Pemenang dipilih oleh kapten dan jurulatih semua pasukan kebangsaan seluruh dunia selain undian dalam talian oleh peminat dan wartawan terpilih. – AFP

Penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski meraikan jaringan gol 1-2 semasa perlawanan di antara Augsburg dan Bayern Munich di Augsburg di selatan Jerman pada 19 November. – AFP