Lewandowski julang Bayern ke final Piala Jerman

MUNICH, JERMAN, 11 JUN – Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich berjaya menewaskan Eintracht Frankfurt 2-1 pada perlawanan separuh akhir Piala Jerman semalam di stadium tertutup untuk terus mara ke perlawanan akhir.

Jaringan awal Bayern daripada Ivan Perisic dibatalkan oleh gol penyamaan dari Frankfurt, yang dijaringkan oleh Danny da Costa, namun hanya bertahan selama tiga minit di Allianz Arena.

Walau bagaimanapun, penyerang bintang Bayern, Robert Lewandowski menamatkan perlawanan itu 16 minit sebelum tamat masa perlawanan untuk meraih gol ke-45nya musim ini dalam semua perlawanan.

Bayern bakal bertemu Bayer Leverkusen, yang menewaskan pasukan dari divisyen keempat liga, Saarbruecken 3-0 pada perlawanan separuh akhir Selasa lalu, dengan perlawanan final akan berlangsung di Stadium Olimpik Berlin pada 4 Julai ini.

Bayern berada di tangga teratas dengan jurang tujuh mata berbaki hanya empat perlawanan sahaja lagi, bakal merangkul gelaran kelapan berturut-turut Bundesliga mereka hujung minggu ini dengan menewaskan Borussia Moenchengladbach dan jika Borussia Dortmund yang berada di tempat kedua kalah menentang Fortuna Duesseldorf.

Walau bagaimanapun, Bayern akan beraksi tanpa Lewandowski dan penyerang utama mereka, Thomas Mueller, di mana kedua-duanya digantung perlawanan seterusnya menentang Gladbach.

Eintracht mengenakan jersi perlawanan sokongan kepada Black Lives Matter, sementara Bayern melakukan pemanasan badan dengan jersi bermesejkan antiperkauman.

Ia adalah pertunjukan solidariti terbaharu dalam bola sepak Jerman berikutan kematian George Floyd di Minneapolis, Minnesota pada akhir Mei lepas.

Bayern telah mengalahkan Frankfurt 5-2, di Allianz Arena ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam liga dua minggu yang lalu. – AFP

Aksi Robert Lewandowski (kiri) dan pemain pertahanan Frankfurt, David Abraham semasa bersaing merebut bola pada perlawanan separuh akhir Piala Jerman (DFB Pokal) antara FC Bayern Munich dan Eintracht Frankfurt di Munich, Jerman, semalam. – AFP