Lewandowski julang Bayern menangi Piala Jerman ke-20

BERLIN, 5 JULAI – Robert Lewandowski telah menjaringkan gol yang ke-50 musim ini ketika Bayern Munich melengkapkan kemenangan berganda 4-2 ketika menentang Bayer Leverkusen yang berlangsung di stadium tertutup untuk memenangi Piala Jerman ke-20 semalam.

Juara Bundesliga, Bayern mendominasi di Stadium Olimpik Berlin ketika David Alaba menjaringkan gol di awal perlawanan menerusi sepakan percuma sebelum Serge Gnabry menambah gol kedua di separuh masa pertama perlawanan.

Lewandowski kini telah menjaringkan 51 gol di dalam semua perlawanan musim ini setelah menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua perlawanan dan diikuti dengan jaringan buat Leverkusen menerusi tandukan Sven Bender. Kai Havertz menjaringkan sepakan penalti di dalam masa tambahan untuk Leverkusen.

“Pada separuh masa kedua, kami menunjukkan bahawa kami adalah pasukan yang lebih baik dan ingin menjadi pemenang piala,” kata Lewandowski.

Bayern, yang dinobatkan sebagai juara Bundesliga untuk tahun kelapan kali berturut-turut pada Sabtu lalu, telah memenangi kesemua 11 perlawanan mereka sejak musim disambung semula pada pertengahan Mei lalu setelah ditangguhkan dua bulan akibat COVID-19.

Mereka boleh menghabiskan musim ini dengan memenangi tiga piala kerana mereka adalah antara pasukan pilihan untuk mara ke final Liga Juara-Juara di Lisbon bulan depan.

Ini adalah kali ke-13 dalam sejarah kelab mereka memenangi gelaran berganda.

Lewandowski, yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Bundesliga untuk kali kelima hujung minggu lalu, menjaringkan enam gol di kejohanan Piala Jerman, 34 gol di liga dan 11 lagi di Liga Juara-Juara musim ini. – AFP

Pasukan Bayern Munich ketika menjulang trofi Piala Jerman selepas berjaya menewaskan Bayer 04 Leverkusen di Stadium Olimpik di Berlin semalam. – AFP