Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Lewandowski ledak gol pertama untuk Barca

    MADRID, 22 OGOS – Robert Lewandowski memulakan permainan bersama Barcelona dengan merembat dua gol ketika Ansu Fati membintangi perlawanan selepas diturunkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 4-1 ke atas Real Sociedad, manakala Villarreal menang ke atas Atletico Madrid.

    Penyerang Poland, Lewandowski, meraikan ulang tahun ke-34 dengan meletakkan Barca di hadapan 50 saat selepas permainan bermula sebelum Alexander Isak menyamakan kedudukan untuk La Real di San Sebastian.

    Tetapi Fati yang diturunkan dari bangku simpanan mencipta gol untuk Ousmane Dembele dan Lewandowski, sebelum melengkapkan jaringan untuk dirinya.

    Ini merupakan kemenangan sulung Barca susulan terikat tanpa jaringan di laman sendiri bertemu Rayo Vallecano pada perlawanan pembukaan.

    Ketua jurulatih Barca, Xavi menggesa peminat untuk lebih ‘bersabar’ selepas kelab tersebut berbelanja besar untuk membawa masuk Lewandowski, Raphinha, Andreas Christensen dan Franck Kessie ke Camp Nou.

    Reaksi Robert Lewandowski meraikan gol ketiga Barcelona semasa pertemuan menentang Real Sociedad di San Sebastian, 21 Ogos lalu. – AFP

    Keempat-empat pemain tersebut membuat penampilan pertama mereka menentang Rayo, tetapi pemain pertahanan Perancis, Jules Kounde masih belum didaftarkan setelah berpindah dari Sevilla ketika mereka cuba menyelesaikan masalah kewangan kelab.

    Pasukan pelawat memulakan perlawanan kelmarin dengan sempurna, di mana pemain berusia 18 tahun, Alejandro Balde membuat hantaran lintang rendah dan disambut oleh Lewandowski untuk melakukan jaringan.

    Dia menjaringkan 344 gol semasa lapan tahun yang gemilang bersama Bayern Munich sebelum berpindah dengan yuran bernilai 45 juta euro Julai lalu.

    Namun, pasukan tuan rumah bangkit pada minit keenam, Frenkie de Jong kehilangan bola di bahagian tengah dan Isak meluru ke hadapan sebelum membuat rembatan masuk ke gawang.

    Sociedad ternyata lawan yang sukar buat Barca, tetapi perlawanan berubah apabila Fati dimasukkan pada minit ke-64.

    Pemain berusia 19 tahun itu membuat hantaran belakang tumit mencari Dembele yang kemudian membuat percubaan menuju penjuru gawang dua minit kemudian, sebelum satu lagi hantaran pintar yang membantu Lewandowski menjaringkan gol. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...