Lewandowski mampu jadi ‘lebih baik’

MUNICH, 22 SEPT – Pemenang ‘Kasut Emas’ Eropah, Robert Lewandowski kelmarin memberi amaran kepada pemain pertahanan di Eropah bahawa dia masih mampu memperbaiki permainannya.

Penyerang Bayern Munich itu turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya, Anna, semasa dia menerima anugerah sebagai penjaring terbanyak dalam bola sepak Eropah musim lalu.

Lewandowski yang meledak 41 gol dalam 29 perlawanan untuk Bayern pada musim 2020-2021, memecahkan rekod 40 gol di Bundesliga yang dipegang Gerd Mueller pada 1971-1972.

Jaringan tersebut adalah yang tertinggi di Eropah sejak Cristiano Ronaldo menjaringkan 48 gol untuk Real Madrid pada tahun 2014-15. Penyerang berusia 33 tahun itu menegaskan masih banyak gol dan gelaran yang akan diperolehinya pada masa akan datang.

“Saya masih di sini dan saya akan ada di sini untuk jangka masa yang panjang!” kata Lewandowski.

Gambar fail aksi Robert Lewandowski ketika menentang VfL Bochum minggu lalu. – AP

“Saya yakin dengan kemampuan saya untuk bermain selama bertahun-tahun ditahap yang tertinggi dan saya berharap untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Musim ini, Lewandowski sudah menjaringkan tujuh gol dalam lima hari dengan Bayern ketika ini mendahului tangga teratas di Bundesliga.

“Ini belum berakhir, kami masih dahagakan gelaran,” kata Lewandowski yang berharap untuk membantu Bayern memenangi gelaran Liga Juara-Juara kedua untuk menambah gelaran yang dimenanginya pada tahun 2020.

Semasa upacara yang diadakan di Allianz Arena, penyerang Poland itu memuji isteri-nya kerana menjadi pendorong kejayaan selama ini.

“Saya sangat berterima kasih kepadanya. Dia penyokong terbaik saya dan memberikan motivasi,” katanya.

Lewandowski merupakan pemain Bundesliga yang kedua untuk memenangi gelaran tersebut selepas Mueller, yang menang pada tahun 1970 dan 1972. – AFP