Lewandowski pimpin kemenangan Bayern

MUNICH, Jerman, 8 Nov – Robert Lewandowski menjaringkan dua gol dalam kemunculannya yang ke-100 dalam saingan Eropah, sekali gus membawa Bayern Munich menghampiri 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara selepas kemenangan 2-0 ke atas AEK awal pagi tadi.

Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama. Dia kemudian meledakkan voli cantik selepas masa rehat untuk mengumpulkan jaringannya kepada 56 gol dalam persaingan Eropah.

Kemenangan tersebut menyaksikan Bayern mengungguli kedudukan teratas Kumpulan E dengan 10 mata.

Dengan Benfica dan Ajax terikat seri 1-1, Bayern hampir melayakkan diri dalam kelompok 16 pasukan terakhir dan jika seri ketika menentang Benfica dalam tempoh tiga minggu ini, ia akan menjamin kemaraan Bayern dalam saingan kalah mati.

“Kami melangkah ke depan dan mengawal permainan pada masa-masa genting,” kata Lewandowski.

“Kami tahu kami boleh melakukannya dengan lebih baik, tetapi kemenangan ini adalah penting bagi keyakinan diri kami.”

Kemenangan di Arena Allianz akan mengurangkan tekanan ke atas ketua jurulatih Niko Kovac dengan juara bertahan Bundesliga itu berada di tangga ketiga sebelum perlawanan penting Sabtu ini menentang Borussia Dortmund. – AFP

Lewandowski (kanan) meraikan jaringannya setelah meledak gol pertama Bayern dalam perlawanan menentang AEK Athens di Arena Allianz, Munich. – AFP