Lewandowski sedia lakar sejarah Bundesliga

BERLIN, 21 MEI – Robert Lewandowski berpeluang memecahkan rekod jaringan Gerd Mueller dalam satu musim yang telah bertahan selama 49 tahun apabila juara Bundesliga, Bayern Munich bakal beraksi di depan penyokong mereka buat pertama kali sejak Mac tahun lalu, esok.

Jaringan penyerang Poland itu menerusi sepakan penalti ketika Bayern seri 2-2 dengan Freiburg menyaksikannya menyamai rekod 40 gol oleh Mueller untuk tempoh semusim dalam kempen Bundesliga 1971/72.

Dengan berbaki satu perlawanan lagi, Lewandowski yang dinobatkan penjaring terbanyak Bundesliga kali keenam dalam tempoh lapan tahun, berpeluang memperbaharui rekod itu apabila bertemu Augsburg esok.

“Saya rasa dia akan menjaringkan dua gol pada minggu ini dan memecahkan rekod,” demikian ramalan bekas penyerang Bayer Leverkusen, Ulf Kirsten, 55, yang dinobatkan penjaring terbanyak Bundesliga sebanyak tiga kali semasa era 1990-an.

“Bagaimanapun, saya harap rekod itu akan kekal kerana Gerd Mueller adalah idola saya.”

Selepas mengesahkan kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut, Bayern akan menjulang trofi Bundesliga musim ini selepas tamat perlawanan terakhir mereka. – AFP

Aksi penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski semasa menjaringkan gol pembukaan dan gol ke-40 musim ini dalam perlawanan Bundesliga menentang SC Freiburg di Freiburg pada 15 Mei lalu. – AFP