Lewandowski tambah derita Barcelona

BARCELONA, 15 SEPT – Bayern Munich menunjukkan lawannya, Barcelona, sejauh mana kelab tersebut tumbang selepas mudah membenam mereka dengan jaringan 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi, dengan Robert Lewandowski berjaya mencetak dua gol semasa perlawanan mereka di Camp Nou.

Barcelona buat kali pertama tanpa kelibat Lionel Messi dalam kempen
Liga Eropah sejak 2003 dan mereka dilihat mudah dijinakkan Bayern, yang mampu menjaringkan lebih banyak gol namun terpaksa berpuas hati dengan tiga gol yang dihasilkan oleh Thomas Mueller dan dua jaringan Lewandowski.

Ketika Lewandowski menjadikan kedudukan 2-0 sebelum satu jam perlawanan berlangsung, terdapat kemungkinan satu lagi keputusan akhir yang memalukan sama seperti kekalahan 8-2 pada tahun lalu menentang lawan yang sama di Lisbon terasa sangat nyata.

Akan tetapi, Bayern dilihat memberikan mesej jelas mengenai jurang perbezaan, sementara peminat Barca meluahkan kemarahan terhadap pasukan.

“Kami mampu melakukan lebih baik,” kata pengurus Bayern, Julian Nagelsmann.

Barcelona gagal mencatat sebarang percubaan tepat, membuat kurang hantaran – sesuatu yang hampir tidak pernah didengar di Camp Nou – dan dibolosi 10 gol dalam tiga perlawanan Eropah di laman sendiri.

Sergi Roberto menerima kritikan daripada penyokong tuan rumah pada penghujung perlawanan dan mereka meluahkan kekecewaan kerana pemain tersebut tidak menunjukkan sebarang peningkatan di bahagian kanan padang, di mana Messi sebelum ini sering mencipta banyak peluang daripada kedudukan tersebut.

“(Siulan) mereka sangat menyakitkan saya kerana saya mengenali dia, dia seorang pemain yang hebat,” kata Pique “Dan semua orang perlu ingat bahawa dia bukan seorang pemain sayap.”

Kedudukan Ronald Koeman semakin goyah dalam beberapa minggu kebelakangan dan formasi 5-3-2 yang diterapkannya, bertentangan dengan tradisi Barcelona yang gemar menyerang, tidak akan mengukuhkan kedudukannya.

“Jelas sekali kami mahu bersaing dengan lebih baik tetapi itu yang kami ada,” kata Koeman. “Saya tidak dapat menyalahkan pemain.” – AFP

Aksi Robert Lewandowski menjaringkan gol ketiga Bayern Munich di Nou Camp setelah menjinakkan Barcelona 3-0, awal pagi kelmarin. – AP