Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Filem aksi Black Panther, terbitan Marvel Studio menampilkan model Lexus LC, sebuah kereta canggih yang padan dengan adiwiranya, Black Panther.
NBT Sdn Bhd, pengedar kereta model Lexus di negara ini, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menjelaskan Black Panther menampilkan kisah adiwira merentasi pelbagai cabaran bersama dengan Lexus LC.
Dengan teknologi terkini, reka bentuk tampak garang dan prestasi tanpa bandingan, kereta tersebut sememangnya sempurna untuk karakter utama dalam filem tersebut, Wakanda yang menjadi raja sebuah negara berteknologi tinggi dan canggih di dunia.
Filem ‘Black Panther’ itu bermula dengan kepulangan Wakanda sebagai raja bagi menggantikan bapanya. Dia perlu membuktikan dirinya layak menaiki takhta dan mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapinya.
Maka bagi memastikan adiwira itu pada prestasi terbaik, Lexus LC dicipta sebagai peralatan canggih memenuhi kehendak beliau. Ia dilengkapi dengan enjin 470 kuasa kuda, mantap dan prestasi menakjubkan dengan badan yang ringan diperbuat daripada aluminium dan karbon fiber, sesuai dengan aksi dan refleksi Black Panther.
Bagi menyaksikan kecanggihan model Lexus LC dan aksi adiwiranya, filem ‘Black Panther’ sudah mula ditayangkan di pawagam-pawagam Negara Brunei Darussalam bermula hari ini.