Friday, December 2, 2022
23.8 C
Brunei

-

LFPR menurun 63.8 peratus

Oleh Mu’min Karim

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) di negara ini menunjukkan penurunan kepada 63.8 peratus pada 2021 berbanding 65.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Penurunan itu disebabkan penurunan jumlah penduduk menganggur dalam kalangan penduduk tempatan yang telah mendapat pekerjaan dan juga peningkatan penduduk di luar tenaga kerja.

Statistik berkenaan dikongsikan dalam Laporan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

Kajian berkenaan adalah berasaskan data muktamad daripada hasil KTK 2021 yang dikendalikan serentak dengan Peringkat Ketiga Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021 pada 1 hingga 31 Disember 2021.

Dalam pada itu, laporan juga menunjukkan jumlah penduduk bekerja telah meningkat sebanyak 0.6 peratus pada 2021 iaitu seramai 212,400 orang, berbanding tahun sebelumnya, seramai 211,100 orang.

JPES menjelaskan, antara peningkatan tersebut adalah disebabkan pekerja tempatan telah mengisi pekerjaan di beberapa sektor industri yang dahulunya didominasi oleh pekerja asing.

Daripada jumlah tersebut, pekerja tempatan merupakan penyumbang terbesar sebanyak 71 peratus (150,800 orang), manakala sebanyak 29 peratus (61,600 orang) adalah pekerja asing.

Manakala itu, sebanyak 92.1 peratus (195,500 orang) merupakan pekerja, manakala mereka yang bekerja sendiri adalah sebanyak 4.7 peratus (10,100 orang).

Kajian juga mendapati, seramai 67,000 orang (31.5 peratus) bekerja di sektor kerajaan yang termasuk aktiviti pentadbiran awam dan perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan seperti pendidikan, kesihatan, elektrik dan air. Sementara itu, seramai 145,400 orang (68.5 peratus) bekerja di sektor swasta.

Mengikut jenis pekerjaan, pekerja perkhidmatan dan jualan menyumbang bahagian terbesar sebanyak 21.8 peratus (46,200 orang).

Dalam laporan KTK 2021, JPES turut mengongsikan purata pendapatan sebulan dari semua pekerjaan adalah $1,536 bagi seorang berbanding $1,755 pada 2020.

Pekerja tempatan memperolehi pendapatan yang lebih tinggi sebanyak $1,710 secara purata, berbanding $1,110 bagi pekerja asing.

Manakala, pendapatan kasar penengah dari pekerjaan adalah $880 berbanding $850 pada 2020. Pendapatan penengah bagi pekerja tempatan dan asing adalah masing-masing sebanyak $1,010 dan $600.

JPES turut mengongsikan, kadar pengangguran pada 2021 adalah kira-kira 10,956 berbanding 16,630 orang pada 2020. Ini menjadikan kadar pengangguran menurun daripada 7.3 peratus kepada 4.9 peratus pada 2021, terutamanya dalam kalangan penduduk tempatan (10,800 orang atau 98.6 peratus).

Penurunan tersebut disebabkan pencari kerja tempatan yang telah mengisi pekerjaan di beberapa sektor industri yang dahulunya didominasi oleh pekerja asing.

Penurunan jumlah penduduk menganggur juga disebabkan peningkatan penduduk di luar tenaga kerja terutamanya yang telah melanjutkan pengajian, menjalani kursus latihan dan melaksanakan tanggungjawab keluarga atau isi rumah.

Dalam pada itu, JPES turut mengongsikan jumlah penduduk di luar tenaga kerja yang meningkat sebanyak 6.1 peratus, daripada 119,700 orang pada 2020 kepada 127,000 orang pada 2021.

Jumlah berkenaan terdiri daripada penduduk perempuan sebanyak 58.6 peratus, penduduk tempatan sebanyak 90.5 peratus, belia berumur 15 ke 24 tahun sebanyak 34.3 peratus dan yang mempunyai kelulusan tertinggi di peringkat menengah sebanyak 66.6 peratus.

Daripada 127,000 orang di luar tenaga kerja tersebut, sebanyak 93 peratus adalah mereka yang tidak aktif untuk mencari pekerjaan dan tidak bersedia untuk bekerja disebabkan masih dalam pengajian, sedang menjalani kursus latihan, mempunyai tanggungjawab keluarga atau isi rumah, atau pun telah bersara.

Penemuan perangkaan tenaga kerja yang dikeluarkan daripada hasil KTK tahun 2017 hingga 2020 juga disemak semula berasaskan data akhir 2021 dan KTK 2021. Perangkaan itu akan dimuatkan dalam penerbitan Brunei Darussalam Statistical Yearbook (BDSYB) 2021.

Laporan KTK 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, deps.mofe.gov.bn.

Sebarang pertanyaan mengenai perkara berkenaan boleh dirujuk ke JPES dengan menghubungi talian 2233344 pada waktu pejabat atau e-mel kepada info.statistics@jpes.gov.bn.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

India sandang jawatan Presiden G20, Majlis Keselamatan PBB

NEW DELHI, 1 DIS – India menyandang jawatan presiden G20 dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai hari ini, lapor Sputnik. G20 ialah forum antara kerajaan...
- Advertisment -