SEOUL, 22 NOV – Syarikat Korea Selatan, LG Chem menandatangani perjanjian dengan negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) untuk membina kilang bahan katod bernilai AS$3.2 bilion digunakan untuk menghasilkan bateri kenderaan elektrik.
Kilang itu berupaya mengeluarkan 120,000 tan katod setahun menjelang 2027, cukup untuk menjana 1.2 juta kenderaan elektrik penuh, kata LG Chem dalam satu kenyataan.
Dengan keluasan 1.7 juta meter persegi, kilang itu akan menjadi ‘yang terbesar di AS,” tambahnya.
Katod, komponen penting dalam bateri yang boleh dicas semula, dibuat daripada nikel, litium dan bahan lain, dan membentuk 40 peratus daripada kos bateri kenderaan elektrik.
Tennessee merupakan ‘pilihan terbaik’ untuk LG Chem disebabkan ‘jaraknya yang dekat dengan pelanggan utama,’ senang menghantar bahan mentah serta kerjasama kerajaan yang aktif, menurut syarikat.
Pembinaan kilang akan bermula tahun depan, dengan pengeluaran besar-besaran dijangka bermula pada 2025.
Kilang itu akan ‘memainkan peranan penting’ dalam strategi LG Chem untuk mengembangkan perniagaan bahan bateri termasuk katod sebanyak empat kali ganda daripada 5 trilion won pada 2022 kepada 20 trilion menjelang 2027, kata syarikat. – AFP