LG Electronics tutup perniagaan telefon pintar

SEOUL, 5 APRIL – LG Electronics, firma perkakasan kedua terbesar di Korea Selatan selepas Samsung telah menutup perniagaan telefon bimbitnya, kata syarikat itu hari ini, selepas divisyen itu kerugian bilion dolar beberapa tahun kebelakangan.

Firma itu dianggap perintis sistem operasi Android, bekerjasama dengan Google bagi siri Nexus pada awal tahun 2010an.

Namun ia lama bergelut untuk meningkatkan jualan, lewat menembusi pasaran dan berdepan persaingan sengit daripada pesaing China yang lebih murah seperti Huawei.

Ia sering disenaraikan dalam kalangan syarikat 10 teratas pengilang telefon pintar di dunia namun menurut penjejak Counterpoint pada kali terakhir ia mencatatkan saham pasaran global tiga peratus atau lebih adalah pada suku kedua tahun 2018. Unit itu telah merekodkan kerugian selama 23 suku berturut-turut sejak 2015, dengan defisit kumulatif mencecah sekitar 5 trilion won (AS$4.4 bilion) pada akhir tahun lalu.

Divisyen itu telah ‘gagal untuk menghasilkan kejayaan’ di tengah-tengah ‘persaingan harga semakin hebat dalam kalangan pesaing utama pasaran telefon bimbit tahap permulaan’, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Keputusan itu akan membolehkan firma itu untuk ‘menumpukan sumber-sumber dalam bidang pertumbuhan seperti komponen kenderaan elektrik’, robotik dan rumah pintar, tambahnya.

LG dilaporkan telah mengadakan rundingan bersama Vingroup Vietnam berhubung potensi jualan, namun ia berakhir disebabkan perbezaan harga, menurut laporan tempatan. – AFP

Telefon pintar LG Wing dipamerkan di sebuah kedai telekom di Seoul pada 5 April. LG Electronics telah menutup perniagaan telefon bimbitnya selepas divisyen itu kerugian bilion dolar beberapa tahun kebelakangan. – AFP