MINGGU lalu, LG telah melancarkan telefon pintar peringkat pertengahan siri Q baru iaitu LG Q6, LG Q6+ dan LG Q6a yang syarikat itu katakan, menawarkan ciri-ciri premium yang paling diingini pada harga
kompetitif.
Ketiga-tiga modal didatangkan dengan paparan FullVision syarikat Korea Selatan berkenaan yang telah diperkenalkan bersama LG G6 dan menonjolkan nisbah bidang lebih tinggi daripada biasa pada 18:9.
Pada asasnya, LG Q6+, LG Q6, and LG Q6a mengetengahkan reka bentuk sama, serupa dengan LG G6 dan akan terdapat dalam warna Astro Black dan Ice Platinum.
LG Q6+ juga akan ditawarkan dalam warna Marine Blue, sementara LG Q6a juga akan didatangkan dalam warna Terra Gold dan Mystic White. Perbezaan lain adalah dari segi RAM dan storan dalaman.
Dari segi spesifikasinya, LG Q6+, LG Q6 dan LG Q6a didatangkan terus Android 7.1.1 Nougat dan menonjolkan paparan FullVision 5.5 inci dengan resolusi skrin 1080×2160.
Ketiga-tiga model dikuasakan dengan pemproses Snapdragon 435, bagaimanapun, LG Q6+ didatangkan dengan RAM 4GB, Q6 dengan RAM 3GB dan Q6a menonjolkan RAM 2GB.
Bagi storan dalaman, LG Q6+ mempunyai storan 64GB sementara itu, Q6 dan Q6a masing-masing didatangkan dengan storan 32GB dan 16GB.
Dari segi optik, kesemua model dilengkapi satu kamera belakang 13MP tidak seperti tetapan dua kamera pada LG G6. Di depan pula terdapat kamera 5MP dengan lensa sudut luas.
Pilihan sambungan ketiga-tiga peranti termasuk 4G LTE, Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 4.2, NFC, dan USB Type-B 2.0. LG Q6+, Q6 dan Q6a disokong dengan bateri 3000mAh dan setiap model mempunyai ukuran 142.5×69.3×8.1mm serta berat 149g.