LHDNM sumbang alat bantuan mengajar

KUCHING, 9 Okt – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) hari ini menyumbang Alat Bantuan Mengajar (ABM) berbentuk LCD Projektor kepada lima buah sekolah terpilih di sekitar Kuching.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, LHDNM sangat memahami keperluan era pendidikan masa kini yang memerlukan bantuan teknologi agar sistem penyampaian pembelajaran lebih efektif dan berkesan.

“LHDNM percaya melalui kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) yang interaktif akan menarik minat para pelajar agar lebih fokus dalam pembelajaran dan seterusnya mampu meningkatkan kecemerlangan mereka dalam akademik,” katanya pada majlis Program Celik Cukai (PCC) di sini, hari ini.

Selain menyampaikan sumbangan ABM, katanya, LHDNM turut memberikan taklimat percukaian sekali gus mewujudkan Sudut Celik Cukai di ima buah sekolah itu yang boleh dijadikan panduan oleh guru dan ibu bapa pelajar dalam menguruskan hal ehwal percukaian mereka.

“Untuk pelajar pula LHDNM memperkenalkan Kuiz Cukai Edu-Tax yang menggunakan pendekatan belajar tentang cukai secara seronok dan santai. Pendekatan ini akan diperluaskan lagi di masa akan datang agar rakyat terus mendekati LHDNM seterusnya pematuhan cukai dalam kalangan rakyat dapat dipertingkatkan,” katanya.

Lima sekolah yang menerima sumbangan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Satria Jaya, SK Tan Sri Datuk Haji Mohamad, SK Pasir Pandak, SK Santubong dan SK Tambirat. – Bernama