Gagal meneruskan perjuangan di pentas Big Stage 2022, penyanyi Lia Aziz mengakui tidak menjangka akan menjadi peserta kedua tersingkir dalam program berkenaan.
Menurut Lia atau nama sebenar Nuraliah Farzana Abd Aziz, 19, kekurangan undian peminat menjadi faktor dia hanya bertahan hingga konsert minggu ketiga.
“Sejujurnya saya tidak jangka akan keluar seawal ini, saya memang jangka akan tersingkir nanti tapi bukanlah pada minggu awal ini tapi itulah mungkin rezeki sampai di sini sahaja.
“Undian secara dalam talian sangat membantu tapi mungkin saya tidak cukup kuat di situ.
Penonton dah tengok dari awal hendak undi siapa, mungkin aura saya tidak cukup kuat buatkan ramai mengundi saya.
“Peminat lagu saya mungkin ramai, tapi bila dah masuk Big Stage dah alam lain, tak boleh bergantung peminat lagu semata-mata,” katanya kepada mStar.
Pada konsert minggu ketiga, Lia diumumkan tersingkir selepas menerima markah 55 peratus daripada juri dan undian peminat.
Lia menyanyikan lagu Kisah Hati nyanyian asal Datin Alyah tidak layak meneruskan saingan pada konsert minggu depan.
Menurut juri jemputan iaitu Han Byul, persembahan Lia kurang menarik dan dia seharusnya menonjolkan sisi lebih berbeza sebagai penyanyi.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Kucu Kuca ini mengakui peluang menyertai program realiti nyanyian untuk budak-budak baharu nak up (BBNU) ini merupakan satu pengalaman cukup bermakna buat dirinya.
“Masuk Big Stage ini dah satu pencapaian besar untuk saya kerana tak jangka layak ke sini, saya dapat belajar banyak benda tentang muzik dan persembahan atas pentas.
Pertandingan ini sangat berbeza dengan persembahan biasa dan menyanyi di laman sosial.
“Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya dari minggu pertama. Semoga kalian terus sokong saya sepanjang berada dalam industri ini,” ujarnya. – Agensi