Lia Natalia tiada niat cetus kontroversi

Gara-gara memuat naik foto berpakaian pengantin bersama seorang lelaki, pelakon Lia Natalia disangka sudah mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap.

Enggan menimbulkan sebarang spekulasi, Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden, 30, menjelaskan ia hanyalah satu babak dalam drama terbaharunya Biarkan Ia Pergi.

“Sebagai seorang pelakon saya kongsi gambar tersebut untuk mempromosikan drama sendiri. Bukanlah sengaja nak buat kontroversi,” jelasnya kepada wartawan.

Terdahulu, pelakon drama Cukup Derita Itu ini berkongsi foto berpakaian pengantin dengan menutup wajah pengantin lelaki di Instastory miliknya.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan peribadi, Lia yang pernah melalui kegagalan dalam bercinta sebelum ini mengakui masih trauma untuk menerima kehadiran seorang lelaki sebagai teman istimewa dalam hidupnya.

Namun demikian, Lia berkata, dia terbuka untuk berkawan dengan mana-mana lelaki.

“Saya tidak ada masalah untuk berkawan dengan sesiapa pun, namun kalau nak jadi kekasih, saya agak berhati-hati. Masih ada rasa trauma disebabkan kisah yang pernah terjadi sebelum ini,” katanya.

Pada Januari tahun lalu, Lia melalui detik sukar apabila terpaksa membatalkan perkahwinan pada saat-saat akhir selepas hubungan itu diganggu orang ketiga.

Mengambil iktibar daripada kejadian itu, Lia juga tidak mahu terlalu berkongsi kisah cinta kerana bimbang perkara sama akan berulang kembali. – Agensi

Lia Natalia belum terbuka hati untuk berkahwin. – Agensi