SEOUL, 17 Julai – Korea Selatan hari ini mencadangkan isu melibatkan ketenteraan dan hal berkaitan pasukan Palang Merah, dibincangkan di meja rundingan dengan Korea Utara.
Agensi berita Xinhua yang memetik Naib Menteri Pertahanan Korea Selatan, Suh Choo-suk berkata Seoul menawarkan pertemuan diadakan di antara wakil tentera kedua-dua negara bagi menghentikan ketegangan yang semakin dirasai di sempadan Garisan Penandaan Tentera (MDL).
Suh menyarankan perbincangan diadakan di Tongilgak, iaitu di bangunan yang terletak di sebelah Korea Utara pada 21 Julai ini.
Sementara itu, pasukan Palang Merah Korea Selatan turut mencadangkan dialog kepada rakan mereka di Korea Utara, bagi membincangkan tentang penyatuan semula keluarga di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang terpisah sejak Perang Korea pada 1950 hingga 1953. Menurut Seoul, isu melibatkan aspek kemanusiaan boleh dibincangkan pada 1 Ogos ini, di Peace House, bangunan yang terletak di sebelah Korea Selatan.
Tawaran rundingan itu dibuat susulan cadangan inisiatif perdamaian yang dirangka Presiden Korea Selatan Moon Jae-in yang mula memegang jawatan pada 10 Mei lalu.
Moon mengemukakan Inisiatif Damai Semenanjung Korea ketika beliau melawat Berlin, Jerman awal bulan ini. – Bernama