Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Libatkan pelajar dalam BGIC

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Seramai 300 orang pelajar dari 21 sekolah di seluruh negara terlibat dalam Persidangan Isu Global Borneo (BGIC) ke-18 anjuran Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang bermula hari ini hingga 27 Jun.

    Sebelum majlis perasmiannya diadakan esok di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, ISB hari ini telah mengadakan sidang media bagi memperkenalkan pembentang ucaptama tahun ini iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC Sdn Bhd (GJPMC), Dr Peter Tay; dan Pengasas The Impian Project, Dayang Lailatul Zubaidah binti Hussain.

    Menurut kenyataan ISB, Dr Peter Tay menyertai GJPMC pada 2011 sebagai ketua pegawai eksekutif dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, GJPMC telah bekerjasama rapat dengan Pusat Promosi Kesihatan (HPC) dan Kementerian Kesihatan untuk menyokong program kesihatan dan kesejahteraannya iaitu Program Workplace and Health (WAH) dan Happy Environment and Lifestyle (HEAL).

    Dayang Lailatul Zubaidah pula ialah penyokong tegar untuk kanak-kanak berkeperluan khas dan merupakan pengasas platform komuniti, The Impian Project, bagi memperkasakan keluarga berkeperluan khas.

    Beliau juga merupakan pengasas dan pengarah urusan Elfera Health & Nursing Care Sdn Bhd (FERA Nursing) yang menawarkan perkhidmatan kejururawatan swasta dengan menyediakan penjagaan kejururawatan yang biasanya dicari untuk pesakit pulih daripada prosedur selepas pembedahan, kemoterapi dan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, kanak-kanak mempunyai kompleks perubatan dan geriatrik.

    Dr Peter Tay dan Dayang Lailatul Zubaidah bergambar bersama wakil penaja BGIC ke-18 semasa sidang media yang diadakan kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Turut hadir semasa sidang media tersebut ialah wakil-wakil penaja iaitu Pengurus Pengeluaran Brunei LNG, Dayang Ellynah binti Abdul Rahman dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Dynamik Technologies Sdn Bhd, Albert Hwong.

    Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Brunei LNG Sdn Bhd terus menjadi penaja utama untuk ISB BGIC.

    Menurut Dayang Ellynah, beliau percaya banyak lagi yang perlu dilakukan terutamanya dengan pelajar kerana mereka merupakan belia yang akan menjadi pemimpin masa depan di Brunei untuk memimpin negara dari segi isu global, dan terdapat pelbagai topik yang akan dibincangkan di bawah BGIC.

    “Apabila pelajar-pelajar berkumpul, mereka bukan sahaja perlu mempelajarinya, tetapi mereka juga perlu tahu bagaimana untuk bergerak ke hadapan kerana ia bukan sekadar kesedaran.

    “Penajaan daripada Brunei LNG menyokong ke arah kebersamaan menuju ke arah matlamat bagaimana menggerakkan masa depan Brunei melalui pendekatan seluruh negara,” ujar beliau.

    ISB BGIC ke-18 ditaja oleh BSP, BLNG, GJPMC, Dynamik Technologies Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Butra HeidelbergCement Sdn Bhd, dengan sokongan daripada TLT Enterprise, Interhouse Company, Air Cat Logistics Sdn Bhd, D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Aewon Garment & Embroidery.

    Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengetua Eksekutif ISB, Tony Macfadyen; guru yang bertanggungjawab bagi ISB BGIC, Merill Grant, dan Setiausaha Agung ISB BGIC, Rafferty Grant-Perry.

    ISB BGIC tahun ini memfokuskan pada Matlamat Pembangunan Mampan ke-3 (SDG3) iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...