Liek Hou tak tidur lena menang emas

KUALA LUMPUR, 5 SEPT – Terlalu gembira dan bangga selepas berjaya merangkul pingat emas pertama sukan badminton di Paralimpik Tokyo, membuatkan jaguh negara Cheah Liek Hou (gambar) tidak tidur lena malam tadi.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata beliau menerima ucapan tahniah daripada pelbagai pihak dan berasa cukup istimewa dengan kejayaan manis meraih emas bagi kate-gori SU5 (kecacatan fizikal), semalam.

“Saya sangat bangga dan gembira sehingga tak dapat nak tidur lena semalam. Semakin ramai yang kenal saya sekarang, saya harap ini adalah permulaan yang baik untuk saya. Pingat ini untuk seluruh rakyat Malaysia, terima kasih,” katanya menerusi satu hantaran video, hari ini.

Juara dunia sebanyak enam kali itu, mencipta sejarah menjadi pemenang pingat emas pertama sukan itu di temasya Paralimpik, selepas menewaskan pemain nombor satu dunia Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 21-15 pada final di Stadium Nasional Yoyogi, Tokyo.

Beliau seterusnya mendedikasikan pingat emas itu untuk rakyat Malaysia terutama jurulatih yang membimbingnya Datuk Rashid Sidek, keluarga, bekas jurulatihnya dan rakan-rakan.

Acara badminton dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Paralimpik Tokyo yang bermula 24 Ogos dan menutup tirainya malam ini. – Bernama